suria

Campur masalah keluarga punca penyanyi legenda serang Shila Amzah

Polis selesai ambil keterangan penyanyi legenda menyerang Shila.

POLIS mengesahkan sudah mengambil keterangan daripada seorang penyanyi legenda susulan insiden menyerang Shila Amzah secara verbal ketika sesi latihan konsert baru-baru ini.

Hasil siasatan mendapati tindakan penyanyi terbabit berpunca daripada rasa tidak puas hati terhadap Shila yang didakwa mencampuri urusan keluarganya.

Menurut Timbalan Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Mohamed Usuf Jan Mohamad, suspek yang terbabit sudah dipanggil untuk rakaman percakapan.

Isu Shila diserang penyanyi legenda menjadi bualan hangat netizen.

“Hasil siasatan mendapati punca kejadian ini adalah suspek tidak berpuas hati terhadap pengadu kerana mencampuri masalah keluarganya.

“Suspek yang terlibat telah dipanggil untuk rakaman percakapan,” katanya.

Menurut Mohamed Usuf, setakat ini seramai empat individu telah dirakam percakapan dan tiada laporan tambahan diterima daripada pihak lain. 

Terdahulu satu laporan polis dibuat oleh Shila atas dakwaan diserang penyanyi legenda ketika mereka sama-sama terlibat dalam sebuah acara di Stadium Merdeka. 

ARTIKEL BERKAITAN: Shila Amzah dakwa diserang penyanyi legenda ketika latihan, netizen petik nama Amy, Awie & Ella 

ARTIKEL BERKAITAN: “Amy Search, kau ceritalah benda yang betul” - Awie

Laporan dibuat pada pukul 5.30 petang Khamis di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Dang Wangi, Kuala Lumpur. 

Dalam satu kenyataan sebelum ini, polis mengesahkan menerima laporan dan kes siasatan dibuat mengikut Seksyen 506 Kanun Keseksaan.

Shila sebelum itu berkongsi kejadian diserang dalam satu hantaran yang dimuat naik di laman Instagram miliknya. Namun tidak memperincikan punca serangan itu berlaku.

Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube

Artikel Lain