suria

Tiada kata sepakat dicapai, kes cerai Zehra Zambri dan suami diselesaikan secara hakam

Zehra (kiri) dan suami gagal mencapai kata sepakat dalam urusan penceraian.

MAHKAMAH memerintahkan kes perceraian penyanyi Zehra Zambri dan suaminya, Nur Mohd Iqwan Samsudin diselesaikan melalui lantikan hakam. 

Perkara tersebut diputuskan selepas proses Jawatankuasa Pendamai (JKP) gagal kerana berlaku syiqaq atau perbalahan berpanjangan yang tidak dapat diselesaikan.  

Peguam syarie mewakili Zehra iaitu Abdul Muiz Samsuri memberitahu lantikan hakam Islah akan dibuat secara profesional dan bukan dalam kalangan ahli keluarga.  

Zehra memfailkan permohonan cerai secara ‘fast track’ terhadap suaminya.

“Mahkamah telah mensabitkan bahawa adanya shiqaq antara Zehra dan defenden. Jadi atas dasar itu, mahkamah telah menetapkan untuk perlantikan hakam Islah kali pertama yang akan ditetapkan pada 13 Ogos hadapan.

“Hakam Islah sepatutnya keluarga manakala satu lagi hakam lantikan mahkamah, walau bagaimanapun sebentar tadi mahkamah telah menetapkan hakam Islah adakah lantikan daripada mereka (mahkamah) yang profesional,” kata peguam kepada media. 

Zehra hadir di Mahkamah Rendah Syariah Hulu Langat, Bandar Baru Bangi bagi prosiding JKP pada Isnin. 

ARTIKEL BERKAITAN: Kes keganasan rumah tangga dibuka semula, Zehra Zambri dan suami dipanggil beri keterangan

ARTIKEL BERKAITAN: [V] Suami setuju lafaz talak, tapi minta gugurkan 4 tuntutan dibuat Zehra Zambri

Tambah Muiz pihaknya juga telah menolak permohonan yang telah dibuat oleh Mohd Iqwan untuk menggugurkan beberapa tuntutan Zehra terhadap kes perceraian mereka. 

“Pihak kami tidak bersetuju dengan permintaan defenden. Alasan itulah yang membuatkan Zehra, hadir ke mahkamah untuk membuat permohonan cerai.  

“Bagi kami alasan itu adalah penting. Sekali lagi, pihak kami tidak bersetuju dengan beberapa perenggan pengguguran pada permohonan tersebut,” jelasnya. 

Sebelum ini, Mohd Iqwan  meminta Zehra menggugurkan dakwaan berkaitan nafkah dan keganasan rumah tangga pada 7 Mei lalu. 

Terdahulu, pihak mahkamah memutuskan kedua-duanya untuk melantik wakil masing-masing bagi proses JKP namun tiada kata putus dicapai membuatkan kes ditangguhkan.

Pada 7 Mac lalu, Zehra memfailkan permohonan cerai secara ‘fast track’ terhadap suaminya selepas mendakwa lebih tiga tahun  mempertahankan rumah tangga mereka.

Zehra (kanan) ketika ditemui di Mahkamah Rendah Syariah Hulu Langat pada Isnin.

Untuk rekod, Zehra mendirikan rumah tangga dengan Iqwan pada 10 November 2021. 

Hasil perkahwinan, mereka dikurniakan seorang cahaya mata perempuan, Zahiyah Iqleela yang kini berusia tiga tahun.

Sebelum itu, Zehra pernah berkahwin dengan Wan Muhammad Nurhariz Hariri pada 14 Oktober 2017, namun ikatan itu hanya bertahan selama enam bulan sebelum bercerai pada April 2018.

Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube

Artikel Lain