PENYANYI Datuk Nora Ariffin mendedahkan terdapat lebih enam syarikat penerbitan masih gagal menyalurkan bayaran royalti lagu-lagu ciptaan arwah suaminya, Allahyarham Johan Nawawi meskipun sudah lebih empat tahun menunggu penjelasan.
Kecewa dengan perkara tersebut, menurut Nora atau Wan Norafizah Ariffin, 53, walaupun isu bersama pihak Music Authors Copyright Protection (MACP) sudah menemui kata sepakat, namun bayaran royalti yang sepatutnya diterima masih belum diselesaikan oleh syarikat-syarikat penerbitan terbabit.
Antara syarikat yang dinamakan termasuklah Warner Chappell Music, Music Works, NSR Publishing, EMI Publishing, Sony Music Publishing dan Good Sound Publishing selain beberapa lagi agensi yang belum dikenal pasti.
“MACP sudah menjalankan tanggungjawab mereka dengan baik. Namun ada beberapa syarikat penerbitan ini yang masih gagal memberi sebarang penjelasan.
Nora menyifatkan Sinaran merupakan lagu paling ikonik ciptaan arwah Johan.
“Zaman sekarang semuanya sudah digital, semuanya ada dalam sistem… jadi kenapa masih berlaku perkara begini?
“Kalau tak mampu atau tak nak buat kerja dengan telus, jangan jadi publisher,” katanya kepada mStar.
Nora berkongsi perkara itu ketika ditemui semasa sidang media khas mengenai hak royalti karya-karya ciptaan arwah Johan yang berlangsung di pejabat MACP di Solaris Dutamas, Kuala Lumpur pada petang Rabu.
Tambah Nora, sebelum ini dia pernah menyebut tentang lagu Sinaran kerana karya tersebut antara lagu paling ikonik ciptaan arwah suaminya dan masih mendapat permintaan tinggi sehingga hari ini.
ARTIKEL BERKAITAN: Nora Ariffin dakwa boleh terima royalti arwah suami cecah RM1 juta, tapi dapat hanya RM60
ARTIKEL BERKAITAN: Terima komen melampau, Nora Ariffin nasihat jaga kata-kata
“Sinaran adalah antara karya terbesar arwah dan digunakan di seluruh dunia sehingga kini.
“Saya perjuangkan perkara ini bukan semata-mata untuk diri sendiri, tapi untuk beri kesedaran kepada semua, terutama balu atau waris pengkarya lain yang mungkin berdepan situasi sama.
“Adakah hak karyawan hanya dilindungi sewaktu mereka masih hidup? Bila sudah tiada, waris pula kena kejar dan merayu? Kalau waris senyap, semuanya lepas tangan,” jelasnya.
Kalau tak mampu atau tak nak buat kerja dengan telus, jangan jadi publisher.
DATUK NORA ARIFFIN
PENYANYI
Sementara itu, anak sulung Nora, Mohd Syakir Iman Johan, 32, berkata, pihak mereka sudah mengadakan perbincangan dengan beberapa syarikat penerbitan berkenaan namun masih belum menerima sebarang penjelasan.
“Kami diminta beri masa setahun dua, tapi dah masuk tiga tahun, tiada perkembangan.
“Kalau boleh, kami mahu selesaikan secara baik… tetapi jika terus tiada penyelesaian, kami tidak menolak untuk membawa perkara ini ke muka pengadilan,” katanya.
Nora dan Syakir (kiri) ketika ditemui pada Rabu.
Selain Nora dan Iman, sidang media tersebut turut dihadiri Ketua Pegawai Eksekutif MACP Mary Yap serta Aiman Zamir Adnan yang merupakan anak kepada komposer lagu Sinaran iaitu Allahyarham Adnan Abu Hassan.
Untuk rekod, Allahyarham Johan telah menghasilkan lebih 200 buah lagu dan pernah bekerjasama dengan pelbagai syarikat penerbitan muzik.
Pada 16 Julai lalu, Nora pernah mendakwa jumlah royalti yang sepatutnya diterima arwah suaminya mencecah RM1 juta, namun hanya RM60 yang dibayar setakat ini.
Untuk rekod, Johan Nawawi meninggal dunia pada Mac 2017 akibat serangan jantung.
Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube