PENYANYI Datuk Nora Ariffin tampil menjelaskan isu tuntutan royalti lagu ciptaan Allahyarham suaminya, Johan Nawawi, tidak mempunyai sebarang kaitan dengan rakan selebriti Datuk Sheila Majid atau konsert yang bakal dianjurkan artis legenda itu.
Menghormati Sheila sebagai seorang penyanyi senior, Nora atau Wan Norafizah Ariffin, 53, berkata dakwaan kononnya dia cuba menjadi ‘joykiller’ atau menjejaskan persiapan konsert Sheila hanya kerana isu lagu Sinaran tidak sepatutnya timbul.
“Secara jujurnya saya sangat menghormati Sheila dan isu royalti ini tiada kaitan dengan dia.
Nora menuntut bayaran royalti bagi lagu Sinaran.
“Dia sebagai penyanyi, jadi tiada kena mengena pun sebenarnya. Isu ini pun sebenarnya dah lama, tiada niat pun nak jadi ‘joykiller’ konsert dia,” katanya kepada mStar.
Nora menjelaskan perkara itu ketika ditemui semasa sidang media khas mengenai hak royalti karya-karya ciptaan arwah Johan Nawawi yang berlangsung di pejabat MACP di Solaris Dutamas, Kuala Lumpur pada petang Rabu.
Berkongsi lanjut, kata Nora, isu berkaitan lagu Sinaran tercetus secara kebetulan selepas dia menghadiri sebuah persembahan yang menampilkan lagu popular itu.
ARTIKEL BERKAITAN: Syarikat penerbitan ‘berdiam diri’ punca royalti lagu Sinaran tertangguh, Nora Ariffin senaraikan 6 publisher terlibat
ARTIKEL BERKAITAN: Nora Ariffin dakwa boleh terima royalti arwah suami cecah RM1 juta, tapi dapat hanya RM60
“Isu ini timbul selepas saya ada pergi satu majlis atau konsert dan melihat sebuah persembahan yang menyanyikan lagu Sinaran.
“Dari situ timbul rasa ingin tahu… ia cuma satu kebetulan sebab lagu itu memang sentiasa dimainkan sampai hari ini,” jelasnya.
Sebelum ini, Nora mendedahkan terdapat lebih enam syarikat penerbitan termasuk Warner Chappell Music, Music Works, NSR Publishing, EMI Publishing, Sony Music Publishing dan Good Sound Publishing yang masih gagal menjelaskan bayaran royalti terhadap lagu-lagu ciptaan arwah suaminya walaupun sudah lebih empat tahun perkara itu dibangkitkan.
Nora turut menjelaskan, tuntutan ini bukan sekadar untuk dirinya, sebaliknya mewakili suara waris-waris pengkarya muzik tanah air yang berdepan isu serupa.
Sheila bakal mengadakan konsert pada 8 November depan.
Sementara itu, Sheila dijadualkan mengadakan konsert berskala besar bertajuk Sheila Majid 40 Years In Music bertempat di Axiata Arena, Bukit Jalil pada 8 November depan.
Konsert itu dibuat sebagai simbolik perjalanan lebih empat dekad Sheila berada dalam industri muzik.
Lagu Sinaran merupakan salah satu karya ikonik yang sinonim dengan penyanyi itu sejak dilancarkan pada 1986.
Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube