suria

Anak penyampai radio terkenal diberi amaran kerana membuli, hanya ibu pelaku saja tampil mohon maaf melalui pihak sekolah

Siti dedah isteri penyampai radio sudah memohon maaf tetapi melalui pihak sekolah.

SUSULAN pendedahan seorang wanita dikenali sebagai Siti mengenai kejadian buli melibatkan anaknya, dia memaklumkan ibu kepada pelaku yang juga isteri kepada penyampai radio terkenal akhirnya tampil memohon maaf.

Namun menurut Siti, permohonan maaf itu tidak dibuat secara bersemuka, sebaliknya disampaikan melalui pihak sekolah selepas dia mengemukakan bahan bukti berhubung kejadian tersebut.

Tambah Siti, lima pelajar yang terbabit dalam kes buli itu termasuk anak penyampai radio berkenaan hanya dikenakan tindakan amaran oleh pihak sekolah.

Hanya isteri penyampai radio sahaja memohon maaf.

“Isteri kepada penyampai radio itu sahaja yang minta maaf tapi melalui guru. Itupun selepas saya kemukakan bahan bukti.

“Anak artis itu serta kawan-kawan lain hanya dikenakan amaran sahaja,” katanya ketika dihubungi mStar. 

Terikilan hanya amaran sahaja diberikan sebagai hukuman, Siti memberitahu dia dan suami juga melalui tekanan akibat insiden tersebut namun memilih untuk tidak memanjangkan perkara itu demi fokus kepada pemulihan emosi anak mereka.

ARTIKEL BERKAITAN: Pelajar dibuli anak penyampai radio popular, pelaku suka ejek warna kulit... “Budak itu berlagak diva sebab mak ayah dia artis”

ARTIKEL BERKAITAN: Tudung, baju sekolah digunting sebab berkulit gelap... Pelajar perempuan tahan sabar dihina buruk rupa paras!

“Jujurnya saya tak okay dengan hukuman itu tapi saya tak mahu panjangkan cerita.

“Sebab emosi saya dan suami terganggu dengan apa yang berlaku. Tapi kami sepakat nak sembuhkan anak sendiri daripada betulkan anak orang lain.

“Selepas kejadian itu, memang dia dah tak kacau anak saya dah,” jelasnya.

Pembuli anak Siti hanya diberikan amaran sahaja. - Gambar hiasan AI.

Pada Ahad, mStar melaporkan tentang dakwaan Siti yang mendakwa anaknya menjadi mangsa buli secara berterusan oleh beberapa rakan sekolah, termasuk anak kepada seorang penyampai radio terkenal.

Menurut Siti, anaknya dibuli secara emosi dan mental, malah sering menjadi sasaran ejekan melibatkan warna kulit.

Bagaimanapun, Siti bersyukur apabila anaknya kini dalam proses pemulihan dan berharap kejadian seumpama itu tidak lagi berulang di masa hadapan.

Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube

Artikel Lain