MAHKAMAH Rendah Syariah Shah Alam menetapkan 22 September depan bagi memutuskan sama ada lafaz cerai ketika siaran langsung TikTok yang melibatkan pempengaruh, Siti Jamumall dan suaminya, Khairul Aiman Abdul Kudus, jatuh sebagai talak dua atau tiga.
Hakim Syarie, Fairus Jaafar menetapkan tarikh berkenaan selepas mendengar keterangan daripada Khairul Aiman, 22, atau lebih dikenali sebagai Aiman Tak Kesah selaku plaintif dan Siti sebagai defendan.
Mahkamah turut memerintahkan pihak-pihak memfailkan hujahan bertulis pada atau sebelum 29 Ogos ini.
Aiman ketika ditemui di luar mahkamah berharap perceraian kali kedua ini disahkan kepada talak dua supaya dapat kembali rujuk dengan isterinya itu.
Aiman (kiri) berharap perceraian kali kedua ini disahkan kepada talak dua.
"Saya mengharapkan jatuh talak dua supaya boleh rujuk kembali dan perbaiki hubungan.
"Harapan baik-baik saja sebab bukan bujang lagi dan tak nak anak-anak jadi mangsa keadaan pula dengan masalah ini,”katanya kepada mStar.
Sementara itu, Aiman memberitahu hubungannya dengan anak-anak Siti Jamumall (hasil perkahwinan terdahulu) masih lagi baik dan berhubung sehingga sekarang.
“Saya tiada masalah dengan anak-anak Siti malah masih berhubung sehingga sekarang. Kalau jumpa pun masih anggap macam anak saya.
ARTIKEL BERKAITAN: Belum sebulan rujuk, Siti Jamumall cerai lagi! Kali ini ketika ‘live’ TikTok bertalak dua
ARTIKEL BERKAITAN: Siti Jamumall terharu Vida mahu taja kos bersalin, siap sediakan banglo penginapan sepanjang pantang
“Kami masih berhubung malah ada hari dia buat pemeriksaan doktor kami berborak macam biasa.
“Ada video call dengan Siti dan tunjuk anak-anak, malah perasaan sayang itu masih ada sebab anak,” ujarnya.
Mengakui prosiding perceraian ini mengganggu kehidupannya namun dalam masa sama teruja untuk bergelar bapa pada September depan.
“Proses prosiding ini bagi saya menganggu sikit untuk urusan harian tapi tak apa sebab ini semua untuk masa depan anak,” luahnya.
Siti dan Aiman bernikah pada awal Jun 2024.
Sebelum ini, berlaku ketegangan antara Aiman dan Siti pada 15 Mei lalu. Tindakan Aiman melafazkan talak kepada Siti disaksikan lebih 25,000 penonton yang sedang menonton siaran langsung dalam media sosial Siti.
Untuk rekod, Siti dan Aiman berkahwin di Satun Thailand pada awal Jun 2024.
Sebelum ini Siti pernah mendirikan rumah tangga dengan Mohammad Syafiq pada 2019 namun bercerai tiga tahun lalu.
Hasil perkahwinan itu, mereka dikurniakan dua orang anak lelaki iaitu Putra Adam Rizki, 5, dan Putra Aiman Zafran, 3 tahun.
Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube