suria

Tiga tahun berhubung dengan Awesome TV, Mamak Puteh baru tahu bayaran perlu dituntut daripada produksi luar… “Kenapa cakap sekarang”

Mamak keliru dengan kenyataan yang dikeluarkan Awesome TV.

TINDAKAN pihak Awesome TV bakal mengemukakan tindakan saman telah menimbulkan kekeliruan buat pelawak Mamak Puteh yang selama ini menunggu lebih tiga tahun menuntut baki bayaran. 

Kata Mamak atau Mohamad Ikhtiarudin Naina Mohamad, 41, sepanjang tempoh perbincangan, pihak stesen berkenaan tidak pernah mengeluarkan kenyataan baki bayaran bukan atas urusan mereka.

"Saya baru dimaklumkan perkara ini dan tidak tahu untuk beri reaksi apa. 

Mamak menunggu tiga tahun menuntut bayaran. 

"Selama tiga tahun berbincang, akhirnya mereka kata bayaran perlu dituntut daripada produksi luar. Jadi siapa saya mahu cari?

"Tiga tahun tunggu, ini akhirnya yang terjadi," katanya ketika dihubungi mStar pada Khamis. 

Mamak mengulas perkara tersebut selepas Awesome TV membuat kenyataan mahu mengambil tindakan saman terhadapnya kerana mengeluarkan kenyataan fitnah. 

ARTIKEL BERKAITAN: Awesome TV ambil tindakan undang-undang terhadap Amir Raja Lawak, Mamak Puteh dan Abu Mamu 

ARTIKEL BERKAITAN: Penat tunggu tiga tahun, Mamak Puteh mahu buat laporan polis tuntut baki bayaran RM18,000

Selain Mamak, dua nama pelawak lain yang juga disebut ialah Amir Raja Lawak dan Abu Mamu. 

Tambah Mamak lagi dia sedia berdepan tindakan dibuat dan dalam masa sama terbuka untuk berbincang lebih lanjut. 

"Jika mereka mahu saman, saya tidak boleh halang. Saya sedia berdepan dengan tindakan itu. 

Tiga tahun tunggu, ini akhirnya yang terjadi

MAMAK PUTEH 

PELAWAK 

"Saya juga sedia untuk berbincang lanjut sekiranya ada jalan penyelesaian terbaik," ujarnya. 

Dalam masa sama, Mamak juga memaklumkan dia masih terus berhubung dengan pihak berkenaan selepas isu ini hangat diperkatakan. 

Mamak dan Amir berdepan tindakan saman. 

"Kali terakhir saya berhubung dengan pihak kewangan mereka adalah minggu lalu. Baru sekarang mereka kata program yang saya terlibat bukan terbitan mereka," jelasnya. 

Mamak sebelum ini meluahkan rasa kecewa apabila pihak Awesome TV gagal melunaskan baki bayaran bagi penglibatannya dalam program di stesen berkenaan. 

Jumlah bayaran yang dituntut adalah RM18,000.

Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube

Artikel Lain