PEMPENGARUH media sosial, Siti Jamumall hanya mampu berserah kepada takdir sekiranya diberikan peluang untuk kembali bersama suaminya Aiman Tak Kesah.
Tidak mahu toleh ke belakang, Siti Jamumall atau Situ Suriani Wahiddin, 26, berkata dia tidak mampu memberikan jawapan untuk kembali bersama.
“Saya punya kefahaman berbeza sebab bila pergi kursus kahwin saya ada belajar.
“Tapi apa yang dikatakan oleh Aiman tentang ada harapan, bagi saya doa sajalah yang baik-baik,”katanya kepada mStar.
Siti tidak pernah menyimpan dendam terhadap Aiman.
Siti berkata demikian ketika ditemui di Mahkamah Rendah Syariah Shah Alam, Selangor pada petang Rabu selepas prosiding perceraian kali keduanya.
Menurut Siti, fokusnya kini hanya mahu meneruskan kehidupan baharu bersama anak yang bakal dilahirkan.
Ditanya mengenai suaminya, Siti mengakui sudah memaafkan dan terbuka untuk membuka lebaran baru dalam rumah tangga.
“Fokus saya sekarang adalah anak dalam kandungan. Saya nak pastikan anak ini dilahirkan dengan selamat serta dibesarkan dengan baik.
ARTIKEL BERKAITAN: Aiman Tak Kesah harap lafaz cerai jatuh talak dua, mahu rujuk Siti Jamumall
ARTIKEL BERKAITAN: Belum sebulan rujuk, Siti Jamumall cerai lagi! Kali ini ketika ‘live’ TikTok bertalak dua
“Saya tidak kejam dan mudah memaafkan. Apa yang berlaku sudah berlalu dan akan datang ini kalau ada peluang kita akan bincangkan semula cuma (proses) agak panjang sikit,” ujarnya.
Ditanya mengenai perubahan sikap yang ditunjukkan oleh suaminya itu, Siti bagaimanapun menzahirkan rasa syukur dan berharap dia belajar daripada kesilapan lalu.
“Cuba perbaiki mana boleh kerana saya sendiri akan baiki kesilapan serta perkara yang saya buat kurang elok.
“Alhamdulilah itu saja jawapan saya, syukur,” katanya.
Terdahulu mahkamah menetapkan 22 September depan bagi memutuskan sama ada lafaz cerai ketika siaran langsung TikTok yang melibatkan pasangan ini jatuh sebagai talak dua atau tiga.
Aiman mahu rujuk kembali bersama Siti.
Sementara itu, Siti menyifatkan isu perceraian sebagai satu hikmah pengajaran terbesar dalam hidupnya.
Untuk rekod Siti Jamumall mencuri perhatian ramai apabila suaminya iaitu Aiman Tak Kesah melafazkan cerai talak dua di hadapan keluarga Siti serta ribuan penonton yang sedang menonton siaran tersebut secara langsung.
Siti dan Aiman berkahwin di Satun Thailand pada awal Jun 2024 dan sebelum ini Siti pernah mendirikan rumah tangga dengan Mohammad Syafiq pada 2019 namun bercerai tiga tahun lalu.
Hasil perkahwinan itu, mereka dikurniakan dua orang anak lelaki iaitu Putra Adam Rizki, 5, dan Putra Aiman Zafran, 3 tahun.
Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube