suria

[V] Fattah Amin, Amira Othman sah bergelar suami isteri dengan sekali lafaz

PELAKON popular Fattah Amin selamat diijabkabulkan dengan penyanyi Amira Othman,32, dalam satu majlis akad nikah yang berlangsung di Golden Palm Tree Malaysia, Sepang, Selangor pada malam Ahad. 

Hanya dengan sekali lafaz, mereka sah bergelar pasangan suami isteri tepat pada pukul 9.08 malam. 

Pasangan itu dinikahkan bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Seri Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri dengan disaksikan bapa pengantin perempuan.

Fattah dan Amira ketika masuk ke dewan.

Pihak lelaki memberi lima dulang hantaran dan dibalas tujuh oleh pengantin perempuan.

Pada majlis itu, Amira  menerima mas kahwin seutas gelang tangan emas.

Majlis penuh sederhana tetapi meriah itu dihadiri ahli keluarga, rakan terdekat serta kenalan industri hiburan.

Kehadiran puteri kesayangan Fattah, Nur Fatima Aisya turut mencuri perhatian apabila dia setia menemani bapanya sepanjang majlis berlangsung.

ARTIKEL BERKAITAN: Hampir terlupa nak jadi pengantin, Amira Othman harap majlis pernikahan berjalan lancar

ARTIKEL BERKAITAN: [V] Berbaki beberapa jam sebelum bergelar isteri Fattah Amin, alunan merdu bacaan al-Quran Amira Othman curi perhatian

Lebih istimewa, majlis pernikahan pasangan itu yang dinamakan Setulus Takdir: Fattah Amira turut bersiaran secara langsung menerusi aplikasi Unifi TV 2.0, saluran Inspirasi secara percuma

Sekadar info hubungan rapat antara Fattah Amin dan Amira Othman mula menjadi perhatian sejak hujung tahun lalu. 

Spekulasi semakin hangat apabila mereka dilihat bersama ke London pada Januari lalu bagi menjalani penggambaran muzik video. Namun, Amira ketika itu menjelaskan tujuan kehadiran mereka hanyalah untuk urusan kerja.

Tidak lama selepas itu, pasangan ini dilantik sebagai duta kempen raya jenama pakaian Jakel dan kerap tampil berdua di acara rasmi dengan gaya sedondon sehingga mencuri tumpuan ramai.

Amira ditemani ibunya ketika berjalan ke pelamin.

Pada Februari, khabar angin mendakwa mereka sudah bertunang mula tersebar, tetapi kedua-duanya tampil menafikan perkara tersebut. Amira menegaskan dia tidak pernah bertunang dengan Fattah, manakala Fattah pula menekankan hubungan mereka sekadar rakan kerja.

Desas-desus mengenai perkahwinan mereka kembali diperkatakan pada Mei apabila ada yang mendakwa Fattah bakal melamar Amira pada 25 Mei. Bagaimanapun, pelakon itu sekali lagi menolak dakwaan berkenaan dengan menjelaskan tiada tarikh perkahwinan ditetapkan pada ketika itu.

Selepas sekian lama berteka-teki, akhirnya pada Selasa lalu Fattah dan Amira mengumumkan mereka bakal disatukan hari ini bersempena dengan ulang tahun kelahiran Fattah yang ke-35. 

Amira dan Fattah kongsi khabar gembira pada 8 September lalu.

Berita gembira itu dikongsi ketika sidang media pelancaran single duet Rasa & Takdir nyanyian Amira bersama adiknya, Irfan Haris.

Untuk rekod, Fattah pernah berkahwin dengan aktres Fazura pada 27 November 2017 dan berpisah pada 7 Oktober tahun lalu.

Hasil perkahwinan mereka dikurniakan seorang anak perempuan berusia empat tahun, Nur Fatima Aisya.

Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube

Artikel Lain