PELAKON dan pengacara Raja Azura menegaskan tindakannya menuntut nafkah terhadap bekas suami, Adzmin Osman bukan untuk mengaibkan atau mencari permusuhan, sebaliknya mahu menegakkan hak anak-anak yang terabai sejak sekian lama.
Menurut Raja Azura atau Raja Azura Tengku Ahmad Tajudin, 53, isu nafkah bukan perkara remeh kerana ia melibatkan hukum agama dan tanggungjawab seorang bapa yang wajib dilunaskan.
“Saya cuma tuntut hak anak-anak sebab perkara ini melibatkan hukum dalam Islam. Kalau tak buat, berdosa dan haram hukumnya.
Raja Azura tiada niat mahu bermusuh dengan bekas suami.
"Saya tak minta lebih, hanya mahu dia keluarkan diri dan jalankan tanggungjawab yang dia sendiri setuju masa kami bercerai dahulu.
“Saya pernah beri nombor akaun tapi tiada duit pun dimasukkan. Saya bukan nak aibkan sesiapa, tapi anggap ini satu kesilapan yang masih boleh diperbetulkan,” katanya ketika dihubungi mStar pada Khamis.
Walaupun telah berpisah sejak 2010, Raja Azura memberitahu dia tidak pernah menghalang bekas suaminya itu untuk bertemu dengan anak-anak.
Malah menyifatkan hubungan itu masih terbuka sekiranya Adzmin ingin kembali menjalinkan komunikasi.
ARTIKEL BERKAITAN: Selepas 15 tahun bercerai, Raja Azura tuntut nafkah anak… “Saya tak mahu bergaduh dengan bekas suami”
ARTIKEL BERKAITAN: Tugas sebagai ibu belum selesai, Raja Azura bimbang anak-anak tersalah langkah
“Hanya awal-awal selepas kami bercerai sahaja dia ada berjumpa anak-anak. Lepas tu terus hilang. Bertanya khabar pun tidak.
“Kalau dia segan atau tak mahu berhubung dengan saya, boleh saja melalui pengurus saya yang juga sepupu dia sendiri. Saya pun masih duduk rumah yang sama sejak dulu.
“Saya tak pernah letak syarat, tiada masalah pun kalau dia nak jumpa anak-anak. Boleh jumpa bila-bila,” ujarnya.
Mengulas mengenai kecaman segelintir netizen yang menyifatkan dia seolah-olah mencari publisiti atau tidak lagi relevan dalam industri seni, kata Raja Azura, dia tidak menyimpan sebarang dendam terhadap mana-mana komen negatif yang dilemparkan.
Saya cuma tuntut hak anak-anak sebab perkara ini melibatkan hukum dalam Islam.
RAJA AZURA
PELAKON DAN PENGACARA
“Itu hak individu nak bercakap. Ada yang kata saya dah tua, dah tak ada kerja, itu semua saya tak kisah.
“Saya masih ada rezeki, masih kerja macam biasa. Tapi yang saya nak tekankan adalah saya buat semua ini untuk anak-anak dan demi akhirat.
“Saya dah jaga anak-anak seorang diri, sekarang saya cuma nak bantu supaya bekas suami saya tunaikan tanggungjawab dia agar kami semua sama-sama menuju ke syurga,” ujarnya.
Raja Azura bersama peguam yang mewakilinya.
Pada Rabu, peguam yang mewakili Raja Azura, Mohammad Amirul Hanizan memaklumkan pihaknya telah memfailkan permohonan kebenaran pelaksanaan penghakiman berikutan kegagalan pihak defendan melaksanakan perintah mahkamah sejak 15 tahun lalu.
Sebelum ini, Raja Azura memaklumkan ini merupakan kali pertama dia melangkah masuk ke alam mahkamah sejak bercerai pada tahun 2010 dan menyifatkan keputusan itu sebagai satu langkah besar yang didorong oleh sokongan penuh daripada ketiga-tiga anaknya.
Untuk rekod, Raja Azura dan Adzmin mendirikan rumah tangga pada tahun 2001 dan bercerai pada 28 September 2010.
Hasil perkahwinan itu mereka dikurniakan tiga cahaya mata iaitu Megat Muhammad Raziq Adzmin, 23, Megat Luqman Hakim Adzmin, 22 dan Puteri Mia Maizura Adzmin, 20 tahun.
Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di WhatsApp, Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube