suria

“Belum ada tarikh” - Erra Fazira

Erra menafikan sudah mempunyai tarikh pernikahan dengan jejaka pilihannya itu.

DESAS-DESUS mengenai tarikh perkahwinan pelakon dan penyanyi Erra Fazira terus menjadi tanda tanya selepas dia secara terbuka mendedahkan hubungan dengan jejaka bernama Ezwan Zain.

Bagaimanapun Erra atau nama sebenarnya Fazira Wan Chek, 51, menjelaskan sehingga kini belum ada sebarang perbincangan rasmi antara mereka berhubung perkara itu.

Malah, dia menafikan dakwaan segelintir pihak yang mengatakan dirinya bakal mendirikan rumah tangga dalam masa terdekat.

“Kalau saya kahwin bulan depan, sekarang ini saya pasti sedang sibuk membuat persiapan.

“Saya tak boleh nak cakap iya atau tidak. Tak adil untuk saya ulas tentang tarikh kerana keluarga sendiri pun belum tahu bila.

Erra tidak tertekan apabila pertanyaan mengenai pernikahan sering diajukan kepadanya. 

“Kalau ada pernah bercakap ke arah itu, saya boleh katakan hanya sekadar angan-angan bersama. Belum sampai ke tahap perbincangan serius antara keluarga,” katanya.

Erra ditemui ketika program riadah bersama media yang berlangsung di Sepang, Selangor pada Isnin.

Dalam masa sama, Erra tidak menolak khabar angin mengenai hari bahagianya bersama Ezwan mula menjadi bualan apabila ada pihak tertentu yang tampil menawarkan tajaan untuk majlis tersebut.

“Memang ada yang datang bertanya, saya ambil maklum tetapi masih belum ada tarikh.

“Kalau sudah ada tarikh terus boleh ‘lock’,” katanya. 

ARTIKEL BERKAITAN: Tak sorok hubungan, Erra Fazira lebih terbuka kongsi kisah peribadi mahu lalui kehidupan normal

ARTIKEL BERKAITAN: Baru buka ‘pintu’, Erra Fazira tak terburu-buru hubungan dengan Ezwan Zain

Tambah Erra, dia tidak terkejut apabila hubungan istimewanya mendapat perhatian ramai. 

Namun, dia menegaskan tidak pernah menganggap perkara itu sebagai satu tekanan memandangkan kedua-dua mereka sudah cukup matang dalam menjalani perhubungan.

“Benda ini bukan baharu bagi saya. Kalau boleh, saya mahukan hubungan yang lebih matang.

“Kita minta restu, mohon doa dan segalanya biarlah sederhana sahaja,” jelasnya.

Januari lalu, kecoh dalam media sosial Erra dikatakan sedang dilamun cinta selepas memuat naik ucapan berbaur romantis, dipercayai ditujukan kepada seseorang.

Erra semakin terbuka berkongsi mengenai hubungannya dengan Ezwan di media sosial. 

Selepas itu, Erra yang juga bekas Ratu Cantik Malaysia itu dilihat semakin terbuka dengan hubungannya, apabila muncul dalam siaran langsung bersama Ezwan di platform media sosial.

Sebelum Syawal pemilik sebuah kafe itu memberi bayangan bakal membawa hubungan mereka ke fasa lebih serius manakala Erra juga dilihat senada dengan kenyataan Ezwan. 

Untuk rekod, Erra pernah mendirikan rumah tangga dengan usahawan Engku Emran pada 25 Oktober 2007, namun mereka disahkan berpisah pada 18 Februari 2014.

Hasil perkahwinan itu mereka dikurniakan seorang cahaya mata perempuan iaitu Engku Aleesya yang kini berusia 16 tahun. 

Sebelum itu, Erra pernah berkahwin dengan penyanyi Datuk Yusry Abdul Halim pada 2003, namun bercerai pada 2006.

Erra bagaimanapun tidak dikurniakan cahaya mata ketika bersama Yusry.

Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube

Artikel Lain