PENYANYI Naim Daniel tiba seawal pukul 6 pagi di Mahkamah Sesyen Putrajaya bagi menghadiri pengurusan kes amang seksual fizikal melibatkan seorang remaja perempuan berusia 17 tahun pada Jumaat.
Naim atau Muhammad Naim Daniel Baharin, 28, hadir ditemani barisan peguamnya iaitu Amirul Ridzuan Hanif, Mohd. Irwan Sumadi dan Nur Syafiah Athirah Ahmad Shafique.
Kata Naim, dia bersyukur apabila semua urusannya dipermudahkan dan memberitahu dia berada dalam keadaan baik.
“Saya tiba seawal pukul enam pagi dan menunaikan solat Subuh di sini.
Naim Daniel syukur perbicaraan berjalan lancar dan dipermudahkan.
“Alhamdulillah, segala urusan hari ini berjalan lancar dan semua pihak memberikan kerjasama yang baik.
“Saya juga berada dalam keadaan baik sekarang,” katanya kepada mStar.
Dalam pada itu, Naim memaklumkan dia kini sedang sibuk menyiapkan rakaman serta promosi lagu terbaharu yang dijangka dilancarkan hujung bulan September.
“Buat masa ini, saya sedang fokus kepada penghasilan lagu baharu. Proses rakaman hampir selesai dan insya-Allah akan dilancarkan hujung bulan ini,” ujarnya.
ARTIKEL BERKAITAN:Mangsa minta dibicarakan secara dalam talian, Naim Daniel buat permohonan bantahan
ARTIKEL BERKAITAN:Naim Daniel selesai urusan serahan dokumen, kes amang seksual disebut semula 19 September
Penyanyi lagu Sembah ini bagaimanapun meluahkan rasa syukur apabila klip teaser lagu terbaharunya mendapat sambutan positif daripada peminat di media sosial.
“Saya anggap ini sebagai satu rezeki yang tidak disangka-sangka. Saya juga sentiasa mendoakan kebaikan buat semua yang masih menyokong dan mendengarkan karya saya.
“Ketika ini, fokus saya hanya kepada kerja dan ingin terus melangkah ke hadapan dengan lebih baik,” katanya.
Naim kelihatan sewaktu berhadapan media selepas perbicaraan tamat.
Pada pagi Jumaat, mahkamah menetapkan 15, 16 dan 18 Disember ini sebagai tarikh perbicaraan bagi kes tersebut.
Terdahulu, pada 18 Ogos lalu, Naim hadir ke mahkamah bersama peguamnya untuk menyerahkan dokumen berkaitan pembelaan.
Pada 17 Jun lalu, Naim mengaku tidak bersalah di hadapan Hakim Datin M. Kunasundary atas pertuduhan melakukan amang seksual fizikal terhadap seorang remaja perempuan berumur 17 tahun 7 bulan, di sebuah hotel di Petaling Jaya, Selangor, sekitar pukul 8.56 malam pada 19 Mei 2025.
Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 14(a) Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017 yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan sebatan, jika sabit kesalahan.
Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube