suria

“Baju bahagian dalam saya digunting” - Zizi Kirana

Zizi berdoa agar rejim Zionis diberikan balasan setimpal atas kekejaman mereka.

PENYANYI Zizi Kirana berkongsi pengalaman pahit dan menyentuh hati ketika ditahan oleh tentera Israel sewaktu menyertai misi kemanusiaan Global Sumud Fortilla (GSF) baru-baru ini. 

Zizi atau Nur Fazelah Mad Tahil, 40, berkata, dia dipaksa untuk menanggalkan tudung dan stokin selain tentera Zionis bertindak kasar dengan menggunting bahagian dalam bajunya kerana membenarkan tahanan memakai sehelai pakaian sahaja. 

Kata Zizi, dia hanya mampu berdoa agar Allah SWT memberi balasan setimpal kepada tentera Israel yang melakukan kekejaman terhadap umat Islam. 

“Apabila nama saya dipanggil untuk masuk ke imigresen, mereka suruh buka stokin dan kasut tapi saya cakap tak nak buka stokin. Bila dipaksa, saya kata haram.

Zizi berkongsi pengalaman ketika ditahan tentera Israel.

Zizi berkongsi pengalaman ketika ditahan tentera Israel. 

“Kemudian dia paksa pula buka tudung, saya cakap saya Muslim, haram untuk saya buka hijab. Saya pegang tudung saya sambil ada orang tarik dari belakang, sampai kawan-kawan satu kapal saya menangis, mereka jerit dengan kuat. 

“Baju bahagian dalam saya digunting sebab dia tak nak ada baju lain. Ketika itu saya doa berilah balasan yang paling setimpal dengan kezaliman yang mereka buat dekat seluruh umat Islam di dunia ini,” katanya. 

Dalam pada itu, Zizi memberitahu dia terkejut apabila mengetahui tentera Israel turut mengenali dirinya melalui media sosial. 

Tambahnya, sepanjang perjalanan ke pusat tahanan, dia diperlakukan dengan kasar termasuk tidak dibenarkan untuk menutup aurat. 

ARTIKEL BERKAITAN: [V] Zizi Kirana sempat hantar ‘voice note’ minta maaf, nada suara penuh semangat

ARTIKEL BERKAITAN: Yusuf Bahrin resah tak tidur malam, terputus hubungan dengan Zizi Kirana… Sedih kenang kanak-kanak Gaza dah menunggu

“Dia cakap nampak saya di TikTok dan Instagram sangat dikenali. Saya tengok saja dengan senyuman sinis walaupun dalam hati cakap ‘Ya Allah, inilah makluk paling zalim dalam muka bumi aku tengah hadap'.

“Tapi saya perlu tenang supaya benda ini tak ganggu emosi dan saya tak nak jadi masalah lain yan memudaratkan diri.

“Sampailah sebelum naik bas ke penjara, sekali lagi hijab saya ditarik. Sampai ke penjara, dia suruh tukar baju penjara. Di sana kami dipenjara dan betul-betul dia tak benarkan saya pakai hijab,” ujarnya.

Meskipun berdepan pelbagai tekanan, Zizi tetap menunjukkan ketenangan dan keteguhan hati. Dia turut menceritakan bagaimana dirinya bertentang mata dengan tentera Israel yang kelihatan ketakutan ketika mengawal tahanan.

“Mereka takut sebenarnya, saya boleh nampak sebab saya bertentang mata dengan mereka. Saya duduk berhadapan laknatullah dan bertentangan mata dalam kapal yang sempit.

“Dalam hati cakap, ‘ya Allah tolong hapuskan dari muka bumi.’ Dia sampai cakap kepada saya kenapa saya pandang.

Zizi ditahan bersama 22 lagi sukarelawan Malaysia yang menyertai misi kemanusiaan GSF.

“Saya hanya respons ‘Apa?’ Sebab itu kot dia bagi saya paling akhir keluar dari kapal,” katanya. 

Sebelum ini, dilaporkan sebanyak 42 flotilla kemanusiaan dipintas tentera Israel, mengakibatkan 201 aktivis dari 36 negara ditahan, termasuk 23 sukarelawan Malaysia yang menyertai misi GSF.

Kesemua 23 rakyat Malaysia yang menyertai misi GSF telah tiba di Istanbul, Turkiye selepas dibebaskan pada Sabtu.

Selain Zizi, selebriti wanita lain yang turut menyertai misi tersebut ialah Heliza Helmi, Hazwani Helmi dan Ardell Aryana.

Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube

Artikel Lain