suria

Sapawi Johnson nafi tuduhan larikan wang jualan kereta pelakon popular, dakwa diri dianiaya... “Saya ada semua bukti”

Sapawi ditemani peguam Suzana Norlihan Ujen (kiri) sewaktu hadir ke IPD Nilai.

SEORANG pelakon lelaki popular dilaporkan telah membuat laporan polis terhadap bekas pengurusnya selepas dikatakan cuba melarikan duit hasil jualan sebuah kereta miliknya.

Bagaimanapun individu yang dikenali sebagai Sapawi Johnson tampil mempertahankan diri dan menafikan tuduhan tersebut selain mendakwa pelakon berkenaan cuba memutarbelitkan fakta sehingga menjejaskan reputasinya.

Menurut Sapawi, isu kereta jenis Toyota Vellfire yang dibeli pelakon itu sudah berlarutan sejak tahun 2023 dan dia tidak memahami mengapa perkara tersebut dibangkitkan semula.

Sapawi nafi mengambil wang milik pelakon popular.

Sapawi nafi mengambil wang milik pelakon popular.

"Sebenarnya isu kereta ini sudah lama sejak 2023 lagi. Polis maklumkan saya dia buat laporan pada 14 Oktober lalu.

"Sebelum ini pada Julai lalu saya ada dapat surat tuntutan (LOD) tetapi saya tak layan sebab apa bukti mengenai permintaanya yang meminta saya menjual kereta miliknya itu.

"Selama ini saya berdiam diri kerana tidak mahu malukan dia. Dia tetap abang saya walaupun kami bukan darah daging tetapi kali ini saya terpaksa berkongsi di media sosial untuk membuktikan yang saya tidak salah," katanya ketika dihubungi mStar.

ARTIKEL BERKAITAN: Toyota Alphard ganti jual Honda Jazz, nombor plat kereta baharu Saharul Ridzwan jadi perhatian

ARTIKEL BERKAITAN: Duit hasil jualan kereta ‘disonglap’ selesai, syarikat diarah bayar RM60,000 kepada PU Riz

Menurut Sapawi, terdapat percanggahan ketara antara kandungan LOD dan laporan polis yang dibuat pada 14 Oktober lalu oleh pelakon tersebut.

"Apa yang mengejutkan dalam LOD yang saya terima berbeza dengan laporan polis yang dia buat. Dalam surat LOD dia beritahu saya bawa lari duit sebanyak RM53,000. Katanya duit itu daripada hasil jualan kereta sedangkan kereta itu hanya sambung bayar, mana dapat duit.

"Dalam laporan polis pula dia cakap saya ambil duit sebanyak RM33,000 serta tidak mengetahui mengenai penjualan kereta tersebut.

"Dia cakap saya jual kereta dia tanpa pengetahuan. Gila ke selepas dua tahun baru dia sedar kereta tak ada? Sedangkan saya ada perbualan kami tentang isu sambung bayar kereta ini," ujarnya.

Menceritakan mengenai urusan sambung bayar kereta tersebut, Sapawi mendakwa dia diminta untuk mencari individu yang mahu menyambung bayar kereta milik aktor berkenaan.

Namun selepas dua tahun, dia terkejut apabila dipersalahkan dan dituduh mengambil wang hasil penjualan kenderaan itu.

"Isu ini sebenarnya memang tak logik sebab saya rasa seperti dianiaya. Saya hanya membantu dia. Saya jadi pengurus dia sudah 11 tahun.

"Saya hanya bantu dia selepas diminta untuk mencari individu yang mahu sambung bayar kereta miliknya tetapi selepas dua tahun timbul pula isu katanya saya ambil wang daripada hasil jualan kereta tersebut.

Sapawi mendakwa tiada sebarang jual beli kereta dibuat.

Sapawi mendakwa tiada sebarang jual beli kereta dibuat.

"Bila dia buat laporan polis saya hadir ke balai untuk beri kenyataan. Saya memang sedih, saya menangis sebab tak sangka dia buat macam ini," katanya.

Sebelum ini, Sapawi memuat naik sebuah hantaran di Instagram miliknya memberitahu telah hadir ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Nilai bersama peguamnya, Suzana Norlihan Alias bagi memberikan keterangan berhubung dakwaan dibuat oleh bekas artis jagaannya.

Kata Sapawi, selama ini dia memilih untuk diam tanpa membalas hinaan mahupun fitnah yang dilemparkan terhadapnya.

Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube

Artikel Lain