BUKAN sekadar membawa kisah tentang perkahwinan campur, malah filem produksi Thailand berjudul Isan Nikah turut memaparkan jalan cerita yang jarang diketengahkan.
Tidak hanya itu, karya arahan Kriangkrai Monwichit juga mengangkat kepelbagaian dalam budaya serta keunikan masyarakat di negara itu.
Digarap dalam satu bentuk jalan cerita komedi, filem ini pastinya mampu memberi kelainan untuk penonton di Malaysia.
Keunikan budaya masyarakat Muslim selatan Thailand menjadi latar belakang filem Isan Nikah.
"Isan Nikah adalah sebuah filem yang sangat menarik untuk ditonton. Ia menampilkan kisah perkahwinan membabitkan perbezaan agama serta budaya, lalu diolah untuk menjadi sebuah kisah komedi yang lucu dan mencuit hati.
“Selain itu, saya turut mengetengahkan kehidupan di kampung halaman sendiri yang mencerminkan budaya masyarakat tempatan di selatan Thailand.
"Ia termasuk kisah sejarah, tempat pelancongan, makanan dan bahasa," katanya.
ARTIKEL BERKAITAN: Novel fixi ‘Gantung’ ke layar perak, hasil dana sumbangan awam RM200,000
ARTIKEL BERKAITAN: Angkat kisah tokoh silat Meor Abdul Rahman, pengarah ada sebab pilih Beto Kusyairy teraju ‘Gayong’
Filem terbitan Monwichit Entertainment ini menampilkan barisan pelakon seperti Nattawut Sanyabut, Chatchai Chinnasri, Kamonporn Sangwatcharasoontorn, Adull Borsu dan pempengaruh, Amadkuciasree Doloh atau Chalee.
Ia bakal ditayangkan di seluruh pawagam Malaysia bermula 17 Julai ini dengan edaran syarikat tempatan Empire Film Solution Sdn Bhd.
Pengarah Urusan, Mohamad Zubir Badar Shair yakin naskhah kali ini dapat menarik lebih ramai penonton selepas kejayaan filem Khong Khaek terbitan produksi sama tahun lalu.
Isan Nikah janji tarikan berbeza buat penonton Malaysia.
"Selama ini penonton di Malaysia sudah selalu disajikan dengan filem-filem bergenre seram dari Thailand dan sudah tiba masanya untuk filem bercorak komedi dan Islamik menjadi tontonan," ujarnya.
Isan Nikah mengisahkan perkahwinan antara seorang gadis Muslim asal Pattani iaitu Sophia (lakonan Kamonporn Sangwatcharasoontorn) dengan kekasihnya Bak Kai (Nattawut Sanyabut).
Hubungan mereka mendapat tentangan abang Sophia yang mempunyai sejarah silam terhadap lelaki asal Isan seperti Bak Kai.
Pelbagai usaha dilakukan untuk menggagalkan rancangan perkahwinan tersebut sehingga terjadi perkara yang melucukan.
Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube