SEORANG jurulatih bola sepak menangis teresak-esak ketika dibawa keluar dari Mahkamah Sesyen Kota Tinggi, Johor selepas menghadapi pertuduhan mencabul pada Selasa.
Tertuduh, Meor Azizi Zolkfle terdahulu mengaku tidak bersalah atas empat pertuduhan mencabul dua pelatihnya pada November 2024 dan Mei lalu.
Meor Azizi yang berusia 33 tahun mengangguk faham sejurus pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Hayda Faridzal Abu Hasan.
Tertuduh didakwa telah melakukan amang seksual fizikal bagi maksud seksual ke atas seorang remaja perempuan 13 tahun dengan cara memegang paha dan bahagian dada.
Kedua-dua pertuduhan itu dilakukan di Stadium Bandar Penawar pada pukul 9.20 malam pada 2 Mei lalu.
Dalam pertuduhan berasingan, Meor Azizi juga didakwa melakukan perbuatan sama ke atas seorang lagi remaja perempuan lain berusia 13 tahun.
Tertuduh didakwa menyentuh dada, paha, belakang badan dan perut mangsa.
Dia didakwa telah melakukan perbuatan itu di sebuah kedai sukan di Felda Sening pada 14 November 2024 dan juga di depan padang Sekolah Menengah Kebangsaan Adela pada 2 Mei lalu.
Bagi semua kesalahan itu tertuduh didakwa mengikut Seksyen 14(a) Akta Kesalahan-kesalahan Seksual Terhadap Kanak-kanak 2017 yang dibaca bersama Seksyen 16(1) akta yang sama yang membawa hukuman penjara maksimum 20 tahun dan sebat, jika sabit kesalahan.
Timbalan Pendakwa Raya Foo Fang Leong dalam hujahannya menegaskan kesalahan terbabit tidak boleh dijamin namun sekiranya mahkamah menggunakan budi bicara jaminan sebanyak RM15,000 bagi setiap pertuduhan berserta syarat tambahan.
Manakala tertuduh yang bekerja sebagai jurulatih bola sepak sepenuh masa dan tidak diwakili peguam meminta kepada mahkamah agar mengurangkan jaminan susulan mempunyai tanggungan dua orang anak.
Hayda Faridzal kemudian menetapkan jaminan RM20,000 untuk keempat-empat pertuduhan di mana tertuduh juga perlu melaporkan diri di Balai Polis Bayu Damai, Pengerang setiap bulan selain tidak dibenarkan mengganggu saksi.
Mahkamah juga menetapkan 17 Julai depan tarikh sebutan semula bagi serahan dokumen dan lantikan peguam.