suria

Jantina masih diragui, dihalang sertai kejohanan... Imane Khelif terpaksa buat rayuan di mahkamah

Imane Khelif tidak dibenar menyertai mana-mana kejohanan jika tidak menjalani ujian jantina.

PENINJU Algeria, Imane Khelif, memfailkan rayuan ke Mahkamah Timbang Tara Sukan (CAS) berhubung keputusan Persekutuan Tinju Dunia (World Boxing) yang melarangnya menyertai kejohanan akan datang tanpa ujian genetik.

Rayuan Khelif bertujuan membatalkan keputusan badan sukan itu dan membolehkan dirinya bertanding di Kejohanan Tinju Dunia 2025 tanpa perlu menjalani ujian jantina, kata CAS dalam satu kenyataan.

“Ketika ini pihak-pihak terlibat sedang bertukar hujahan bertulis dan dengan persetujuan mereka, satu sesi pendengaran akan dijadualkan,” tambah CAS.

Khelif meraih emas dalam kategori welterweight wanita di Sukan Olimpik Paris tahun lalu.

ARTIKEL BERKAITAN: Atlet paling kontroversi di Olimpik Paris! Ini 12 fakta tentang Imane Khelif... Perempuan tapi dituduh lelaki

World Boxing, yang akan menguruskan acara tinju pada Sukan Olimpik 2028, memperkenalkan ujian jantina wajib untuk semua peninju bermula Mei lalu.

Tambah badan sukan itu, Khelif tidak dibenarkan bertanding selagi belum menjalani ujian tersebut.

Presiden World Boxing, Boris van der Vorst kemudian memohon maaf kerana nama Khelif didedahkan dalam pengumuman itu, dengan mengakui privasinya sepatutnya dilindungi.

Khelif sepatutnya menyertai kejohanan World Boxing di Belanda pada Jun, namun memilih untuk menarik diri.

Namun, atlet itu berkata dia mahu mempertahankan pingat emasnya dalam edisi Olimpik akan datang. -Agensi.

Artikel Lain