suria

Bintang badminton Malaysia-China didakwa bercinta, naik Rolls-Royce bersama di Hong Kong

Tang Jie dikatakan berada dalam Rolls-Royce yang dinaiki Yifan di Hong Kong. -Foto (kiri) CGTN Sports Scene

DESAS-desus mengenai hubungan istimewa antara juara dunia beregu campuran Malaysia, Chen Tang Jie, dan pemain beregu wanita China, Jia Yifan, kembali menjadi bualan.

Ini selepas kedua-dua mereka dilihat menaiki kereta mewah bersama di Hong Kong, pada Isnin.

Mereka berdua dilihat sehari sebelum kejohanan Terbuka Hong Kong, ketika peminat berkumpul di luar hotel penginapan pemain untuk mendapatkan tandatangan.

Yifan dilihat menaiki sebuah kereta Rolls-Royce, manakala peminat 'mata helang' sempat merakam wajah Tang Jie yang berada di dalam kenderaan sama, lapor China Press.

Tang Jie sebelum ini baru sahaja menjuarai Kejohanan Dunia 2025 bersama gandingannya, Toh Ee Wei, namun mereka tidak menyertai Terbuka Hong Kong yang berlangsung dari Selasa hingga Ahad ini.

Perkara yang menarik perhatian ialah warna rambut Yifan yang kelihatan seakan-akan sama dengan warna rambut perang Tang Jie.

Sebelum ini, khabar angin percintaan mereka sudah beberapa kali diperkatakan, dan kejadian terbaharu ini menguatkan lagi spekulasi hubungan romantik antara dua bintang badminton tersebut.

Artikel Lain