MAJLIS Paralimpik Malaysia (MPM) menafikan pernah menjanjikan atlet badminton paralimpik, Cheah Liek Hou insentif berjumlah RM60,000 atas kejayaannya merangkul pingat emas di Sukan Paralimpik Paris dan memutuskan untuk mengambil tindakan terhadapnya kerana didakwa melakukan fitnah terhadap organisasi itu.
Liek Hou sebelum ini mengkritik MPM dalam satu hantaran di media sosial kerana tidak menunaikan janji memberi ganjaran kepadanya serta pemenang pingat lain selepas setahun.
Atlet berusia 37 tahun itu mendakwa seolah-olah dia dan pemenang pingat lain telah ditipu.
Presiden MPM, Datuk Seri Megat D Shahriman Zaharudin berang dengan kenyataan Liek Hou dan menegaskan pihaknya tidak pernah menjanjikan RM60,000 kepadanya.
“Kami tidak pernah berjanji mahu beri dia RM60,000. Saya tidak tahu dari mana datangnya angka itu. Kami maklumkan jumlah keseluruhan yang diterima daripada penaja untuk semua pemenang pingat hanyalah RM55,000. Perkara ini sudah dijelaskan kepadanya.
"Jika dia masih ragu, dia sepatutnya bertanya kepada kami dahulu sebelum memuat naik di media sosial. Menuduh kami menipu adalah satu dakwaan serius dan berunsur fitnah. Ia mencalarkan imej kami sedangkan kami berusaha keras mendapatkan penaja. Kami kini akan mengambil tindakan undang-undang terhadapnya.
"Surat tunjuk sebab akan dihantar kepada Persatuan Badminton Malaysia (BAM) dan Majlis Sukan Negara (MSN). Ini boleh menyebabkan dia digantung daripada menyertai pertandingan," ujarnya pada sidang media di Pusat Sukan Paralimpik, Kampung Pandan pada Khamis.
Kini, Liek Hou berdepan risiko digantung daripada semua kejohanan termasuk Sukan Para Asia 2026 di Nagoya dan Sukan Paralimpik 2028 di Los Angeles.
Megat turut memaklumkan bahawa Liek Hou serta atlet angkat berat Bonnie Bunyau Gustin, yang sama-sama memenangi emas, akan menerima RM25,000 setiap seorang.
“Dua penaja, Zero Healthcare dan B. Grimm Power telah bersetuju memberi ganjaran kepada pemenang pingat.
“Kami akan memasukkan wang ke akaun atlet hari ini. Sebelum ini terdapat kelewatan kerana pihak B. Grimm Power mahu menyerahkan cek sendiri kepada atlet. Perkara ini turut dimaklumkan kepada Cheah.
“Apabila dia mengeluarkan kenyataan seperti itu, ia memberi kesan kepada penajaan pada masa hadapan kerana syarikat-syarikat ini memberi ganjaran atas dasar ihsan. Mereka tidak wajib berbuat demikian," ujarnya lagi.
Sementara itu, pemenang pingat perak Abdul Latif Romly dan Ziyad Zolkefli akan menerima RM15,000 setiap seorang, manakala pemenang pingat gangsa Eddy Bernard akan mendapat RM8,000.
Liek Hou kini sedang beraksi dalam Kejohanan Para Antarabangsa China yang akan berakhir pada Ahad depan. - The Star.