MENTERI Belia dan Sukan, Hannah Yeoh tampil mempertahankan atlet paralimpik, Cheah Liek Hou selepas Majlis Paralimpik Malaysia (MPM) mengumumkan mereka akan mengambil tindakan terhadap pemain badminton itu.
Menurut Hannah, Liek Hou tidak sepatutnya diberi layanan sebegitu kerana dia sudah banyak mengharumkan nama Malaysia di mata dunia.
"Ini bukan cara kita melayan atlet yang mengangkat nama Malaysia di persada dunia. Liek Hou tidak melanggar mana-mana garis disiplin.
"Dia hanya menuntut apa yang dijanjikan kepadanya setahun selepas memenangi pingat emas di Sukan Paralimpik Paris 2024.
"Ini bukan isu disiplin tetapi berpunca daripada kelewatan MPM sendiri," tulis Hannah di Facebook pada petang Khamis.
ARTIKEL BERKAITAN: Dakwa ditipu, tak dapat ganjaran RM60,000 lepas rangkul pingat emas... Pemain badminton bakal dikenakan tindakan - MPM
Tambah Hannah lagi, Liek Hou berada di bawah jagaan Persatuan Badminton Malaysia (BAM) dan dibiayai sepenuhnya oleh Majlis Sukan Negara (MSN).
"Apa-apa keputusan mengenai kedudukan Liek Hou bukan di tangan MPM semata-mata. MPM tidak berhak bertindak sendiri," katanya lagi.
Nama Liek Hou menjadi perhatian selepas dia mengkritik MPM dalam satu hantaran di media sosial kerana mendakwa tidak menunaikan janji memberi ganjaran kepadanya serta pemenang pingat lain selepas setahun.
Hari ini, MPM dalam satu sidang media menafikan pernah menjanjikan Liek Hou insentif berjumlah RM60,000 atas kejayaannya merangkul pingat emas di Sukan Paralimpik Paris.
Dalam sidang media sama, MPM memberitahu akan mengambil tindakan terhadap Liek Hou kerana didakwa melakukan fitnah terhadap organisasi itu.