PERJALANAN ke Antartika dianggap sudah cukup luar biasa bagi mereka yang berkemampuan melancong ke benua tersejuk berkenaan.
Namun, bagi Lesley Anne Murphy, dia menjadikan pengalaman ke Antartika lebih 'gila' apabila memilih laluan laut paling berbahaya di dunia, Drake Passage.
Malah, wanita itu berdepan dua kali 'Drake Shake' iaitu situasi laut bergelora dengan ombak besar boleh mencecah 10 hingga 15 meter tinggi.
“Kami diarahkan untuk berkurung dalam kabin sepanjang petang. Keadaan memang gila dengan kapal bergoncang, bunyi ombak menghentam badan kapal.
"Kami sempat gelak ketawa, dapat masa berehat, malah saya sempat FaceTime dengan anak-anak. Paling tak sangka, saya rupanya tak mabuk laut langsung," kongsinya di Instagram [Tonton Video].
Walaupun ramai pelancong mengharapkan Drake Lake yang tenang, Anne Murphy menyifatkan Drake Shake itu sendiri sebagai satu pengalaman ekstrem yang bagi dirinya dianggap 1000 peratus berbaloi.
Katanya, pengalaman gila itu bukan sekadar cabaran fizikal, tetapi juga kenangan yang akan diceritakan sepanjang hayat.
Suasana dalam kapal ketika meredah ombak besar. -Foto Instagram Lesley Anne Murphy.
Info Drake Passage
1. Lokasi
- Terletak di antara Cape Horn (selatan Chile/Argentina) dan Semenanjung Antartika.
- Menghubungkan Lautan Atlantik, Lautan Pasifik dan Lautan Selatan.
- Panjang laluan 800 kilometer (km).
2. Cuaca & lautan
- Ombak di Drake Passage boleh sangat tinggi boleh mencecah lebih 15 meter.
- Angin kencang di kawasan itu boleh mencapai lebih 100 hingga 130 kilometer per jam.
- Tiada daratan besar yang menghalang angin serta arus menjadikan laut lebih ganas.
3. Bahaya untuk pelayaran
- Drake Passage digelar antara laluan laut paling berbahaya di dunia terutama sebelum adanya teknologi moden.
4. Kes Viking Polaris
- Kapal persiaran Viking Polaris dilanda ombak besar pada November 2022.
- Seorang penumpang wanita dari Amerika Syarikat meninggal dunia akibat terkena kaca pecah.
5. Peranan iklim
- Memainkan peranan besar dalam edaran haba global dan menyokong ekosistem lautan.
6. Rekod pelayaran moden
- Kapal layar seperti Comanche memang pernah mencatatkan rekod menyeberang lautan selatan termasuk laluan sekitar Drake Passage dengan lebih cepat berbanding kapal lama.
- Dianggarkan kurang seminggu berbanding kapal lama yang mengambil masa berminggu-minggu serta berbulan-bulan.