ARAB Saudi kini muncul sebagai destinasi baharu untuk pelancongan mewah dan penuh pengembaraan dengan menawarkan pengalaman unik di sepanjang pesisir Laut Merah yang masih belum diterokai sepenuhnya.
Pantai sepanjang 1,800 kilometer (km) itu dibahagikan kepada tiga wilayah utama, menempatkan lebih 1,000 pulau yang tidak berpenghuni, 500 tapak selaman, 300 spesies karang serta 22 pantai berpasir putih yang terpelihara.
Hanya 90 minit penerbangan dari Jeddah atau perjalanan singkat dari negara-negara Majlis Kerjasama Teluk (GCC), Laut Merah Arab Saudi kini dilihat sebagai permata tersembunyi pelancongan dunia.
Aktiviti menyelam dan snorkeling
Di bahagian utara, penyelam dan penggemar snorkeling boleh meneroka taman karang yang penuh warna-warni dengan ikan tropika yang berenang di celahan karang.
Bagi yang lebih berani, selaman malam memperlihatkan keindahan plankton bercahaya dan hidupan laut nocturnal seperti sotong serta belut.
Kursus menyelam turut disediakan daripada peringkat asas hinggalah jurusan khusus seperti fotografi dasar laut dan pemuliharaan jerung.
Aktiviti menyelam dan snorkeling menjadi tarikan di Laut Merah.
Golf bertaraf dunia di KAEC
Terletak kira-kira sejam perjalanan dari Jeddah, King Abdullah Economic City (KAEC) menawarkan pengalaman golf eksklusif di Royal Greens Golf & Country Club iaitu padang golf kejohanan 18 lubang yang diiktiraf dunia dengan pemandangan Laut Merah sebagai latar.
Selain menjadi tuan rumah kejohanan antarabangsa seperti Saudi International dan Aramco Team Series, KAEC turut menawarkan pantai persendirian, marina, laluan berbasikal dan restoran tepi laut.
Sukan air moden yang penuh adrenalin
Pengunjung boleh memilih pelbagai aktiviti sukan air seperti belayar dengan kapal layar peribadi, paddleboarding, kayak di teluk tenang, hinggalah pengalaman futuristik seperti E-foiling iaitu meluncur di atas papan hidro seolah-olah terbang di permukaan laut.
Bagi pencinta cabaran, Yam Beach di kawasan tengah pula terkenal dengan aktiviti kite surfing, lengkap dengan kelas peribadi dan berkumpulan.
Mencandat ikan di Jeddah
Bagi peminat aktiviti memancing, pelabuhan Dourat Al-Arous Marina di Jeddah menawarkan pengalaman menjerat spesies seperti kerapu, siakap merah dan barracuda.
Aktiviti ini sesuai untuk pemancing berpengalaman mahupun pemula, sambil menikmati pemandangan pesisir pantai yang masih asli.
Belayar dengan kapal layar peribadi antara aktiviti menarik di Laut Merah.
Warisan dan cita rasa di Al-Balad
Selain laut, Jeddah juga menampilkan Al-Balad, tapak warisan dunia Pertubuhan Pendidikan, Saintifik dan Kebudayaan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNESCO).
Di sini, pelancong boleh menyusuri lorong-lorong bersejarah dengan rumah batu karang berusia ratusan tahun, pasar tradisional serta kedai artisan.
Lebih menarik, pengunjung berpeluang menjamu selera dengan juadah Hijazi asli seperti mutabbaq (pankek berinti), minuman Sobia Bar, roti bakar segar dari ketuhar tradisional, serta hasil laut segar dari Laut Merah.
Menunggang kuda Arab di tepi laut
Pengunjung juga boleh merasai pengalaman menunggang kuda Arab yang terkenal dengan stamina dan keanggunannya di pusat ekuestrian berhampiran pantai.
Dilatih jurulatih berpengalaman, pengunjung akan dibawa menunggang menyusuri pantai ketika matahari terbenam sebelum bersantai di majlis tepi pantai dengan hidangan tempatan dan permainan tradisional.
Dengan kombinasi laut biru jernih, warisan bersejarah dan pengalaman moden bertaraf dunia, Laut Merah Arab Saudi kini muncul sebagai destinasi pelancongan baharu yang menawarkan bukan sekadar percutian tetapi pengembaraan sebenar.