PLAZA Padang Besar di Perlis antara lokasi tumpuan pelancong yang ingin masuk atau keluar dari Thailand.
Bagi yang pulang dari negara jiran, 'pit stop' ini dijadikan tempat untuk menghabiskan duit matawang Baht yang masih bersisa.
Turut melakukan perkara sama, seorang wanita bagaimanapun berdepan detik cemas apabila anaknya hampir diculik individu asing ketika berada di Plaza Padang Besar itu pada Rabu.
Berkongsi pengalaman pahit di Threads, ujarnya, selepas melepasi sempadan Malaysia-Thailand, anak keempatnya ingin menggunakan tandas.
Ramai yang gemar menggunakan kenderaan sendiri untuk masuk ke Thailand.
"Kebetulan lalu tepi plaza tu, suami suruh habiskan duit Baht sambil bawa anak pergi tandas.
"Aku turun di hadapan pintu masuk dan terus menuju ke tandas, suasana memang meriah sambil ralit tengok barang gantung-gantung kat kedai.
"Aku sampai di kaunter toilet, aku korek duit syiling dalam beg... anak aku menuju ke depan sikit sambil joget-joget," ujar wanita ini sambil berwaspada dengan situasi anaknya.
Semasa sedang mencari duit untuk membuat bayaran di kaunter tandas, dia sentiasa memanggil nama anaknya.
Arked niaga antara lokasi popular di Padang Besar.
Tindakan itu bagi membolehkan anaknya sedar bahawa dia masih di kaunter berkenaan.
Bagaimanapun, semasa sedang leka mencari duit, dia terlihat seorang wanita berjalan laju dan terus mencapai tangan anaknya.
"Anak aku main ikut sebab dia ingat aku yang pimpin. Tindakan reflex aku terus jerit nama anak dengan nada tegas, dia pun terkejut dan toleh ke arah aku.
"Orang keliling pun tengok muka aku dan perempuan tu lepaskan tangan anak aku sambil angkat tangan konon tersalah orang," jelasnya berkongsi situasi berlaku.
Orang ramai mengambil peluang untuk mencari cenderahati.
Meskipun berjaya menghalang kejadian penculikan itu, namun wanita ini mengakui rasa menyesal kerana tidak mencetuskan pergaduhan sehingga individu tersebut ditangkap.
Bagi mengelakkan situasi sama berlaku terhadap orang lain, dia turut berkongsi fizikal individu berkenaan yang berkulit sawo matang dan bermata bulat yang berusia lingkungan 30-an.
Walau bagaimanapun, dia tidak dapat mengenal pasti sama ada individu terbabit rakyat Malaysia atau berasal dari Thailand.