USAHAWAN tempatan tidak melepaskan peluang mempromosikan perniagaan mereka melalui Star Karnival Cuti-Cuti Malaysia yang berlangsung di Kuantan City Mall, Kuantan, bermula 19 hingga 21 September.
Pengarah Urusan Kek Lapis Warisan Sdn Bhd, Dr Mohamad Hafeezi Datuk Haji Abdullah, yang merupakan salah seorang pempamer, berkata karnival ini membolehkan beliau mengembangkan perniagaan kek lapis Sarawak ke Semenanjung Malaysia.
Jelasnya, jangka hayat kek lapis yang singkat aitu hanya lima hingga tujuh hari pada suhu bilik, menyukarkan penghantaran jarak jauh.
"Karnival ini membolehkan kami membawa kek lapis segar sepanjang perjalanan dari Sarawak ke Kuantan. Saya berharap pengunjung dari semenanjung dapat merasai kek kami yang terdapat dalam pelbagai perisa," katanya.
Bagi pemilik jenama kraftangan Swaraseni, Insyirah Iszarizal, karnival tersebut memberi peluang untuk merancakkan perniagaan aksesori buatan tangan (hand-made) yang baru bermula tahun lalu.
"Karnival ini menjadi platform penting untuk pengembangan perniagaan saya, terutama menjelang kempen Visit Malaysia 2026 (VM2026) dan berharap semua perniagaan tempatan dapat menikmati peningkatan jualan," ujarnya.
Pengarah Urusan Kek Lapis Warisan Sdn Bhd, Dr Mohamad Hafeezi Datuk Haji Abdullah berkata Star Karnival Cuti-Cuti Malaysia adalah peluang baik untuk mengembangkan perniagaan kek lapis Sarawak ke Semenanjung.
Eksekutif Penyelia Sumatraa Industries Sdn Bhd, Muhammad Fakhri Ahmad pula berkata, syarikatnya yang mula bertapak di pasar malam sekitar empat tahun lalu dapat dikembangkan ke pasaran yang lebih besar menerusi karivl berkenaan.
Menurutnya, acara sebegini juga membantu memelihara warisan tempatan sambil menyokong pertumbuhan perniagaan mereka.
Sementara itu, Pengarah Jualan dan Pembangunan World Group Holdings Bhd (OWG), Kenny Wong, memanfaatkan karnival tersebut untuk mempromosikan beberapa tarikan baharu di Genting Highlands, Pahang seperti Pusat Penyelidikan Jurassic, Snow World dan Rumah Hantu Pontianak yang dijangka dibuka pada penghujung Oktober.
Hari pertama karnival yang dianjurkan bersama oleh Star Media Group Bhd dan Tourism Malaysia itu mendapat sambutan hangat pengunjung tempatan dan pelancong asing.
Sekumpulan pelancong asing melihat sambal yang dipamerkan di salah satu gerai semasa Star Karnival Cuti-Cuti Malaysia di Kuantan City Mall.
Pasangan Michael Mick yang hadir bersama isterinya, Natallia Smetanina dari Jerman, berkata mereka tertarik dengan kepelbagaian tawaran dan budaya Malaysia yang dipamerkan.
Malah pelancong berkenaan meluahkan hasrat akan kembali melawat Malaysia pada tahun depan kerana terpegun dengan keindahan tanah air dan keenakan makanannya.
Kekal promosi Visit Malaysia 2026
Sementara ini, jangkaan terhadap Visit Malaysia 2026 (VM2026) sangat tinggi di Karnival Cuti-Cuti Malaysia yang berlangsung untuk 'pusingan' pertama ini.
Ketua Pegawai Eksekutif agensi pelancongan Tapak X Holiday, Shayuti Juhari yang merupakan salah seorang pempamer, berkata kerajaan perlu mengekalkan momentum promosi pelancongan sehingga tahun depan.
Beliau menjelaskan, sepanjang tahun ini Tapak X Holiday aktif mempromosikan pelancongan tempatan ke beberapa negara luar dan sambutannya amat positif.
"Momentum kukuh ini mesti dikekalkan agar industri pelancongan Malaysia dapat dimanfaatkan sepenuhnya menjelang VM2026," katanya.
Pengurus pelancongan Haniff Travel Services, Lop Isma Abdul Ismail, pula berharap lebih banyak program seperti karnival ini dapat diadakan.
"Acara seperti ini dapat membantu meningkatkan kesedaran dalam kalangan pelancong mengenai pakej pelancongan yang kami tawarkan, kerana ia membolehkan kami berhubung terus dengan mereka," ujarnya.
Michael Mick dan isteri, Nataliia Smetanina dari Jerman terpikat dengan hasil kraftangan yang dipamerkan.
Pempamer dari Hotel Grand Darulmakmur, Muhammad Danial Khairil Annuar, menambah Tourism Malaysia perlu menyediakan lebih banyak pakej dan tarikan yang mesra Muslim untuk menarik lebih ramai pelancong Islam sepanjang VM2026.
Seorang pengunjung, Zulazlan Hamidon, 46, yang datang bersama keluarga, berharap lebih banyak tarikan baru diperkenalkan bagi merancakkan pelancongan tahun depan.
"Kami sering melancong semasa musim cuti dan saya harap lebih banyak tempat menarik dengan harga berpatutan untuk diterokai," katanya.
Karnival anjuran bersama Star Media Group Bhd dan Tourism Malaysia selama tiga hari itu mempamerkan pelbagai produk seperti makanan, kraftangan, serta perkhidmatan agensi pelancongan dan hotel, dengan penyertaan 57 peserta dari seluruh Malaysia.
Selain pameran, pengunjung juga dihiburkan dengan persembahan tarian tradisional dan muzik.