suria

Kos pembedahan lelaki alami pendarahan otak di Vietnam cecah RM100,000... Ramai persoal fungsi ambil insuran perjalanan

Lebihan kewangan penting bagi menampung hal kecemasan yang mungkin berlaku semasa anda melancong. -Gambar hiasan

KISAH seorang kakitangan Jabatan Veterinar di daerah Jerantut, Pahang, Mohamad Basri Ibrahim, 49, yang kini dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU) Hospital FV, Ho Chi Minh, Vietnam selepas mengalami pendarahan otak mendapat perhatian warga maya.

Kos bayaran yang mencecah RM100,000 membuatkan orang ramai mempersoalkan kewajaran mengambil insurans perjalanan yang didakwa dapat menampung kos pembiayaan berkenaan.

Menjawab mengenai isu tersebut, seorang ejen takaful, Rohaniah Noor mengingatkan warga maya bahawa insurans perjalanan sebenarnya tidak melindungi semua aspek perubatan.

"Ramai ingat travel insurance lindungi semua benda, sebenarnya tidak.

"Travel insurance akan cover kalau kita warded sebab kemalangan. Contohnya sewa motosikal dan terjatuh atau tengah lintas jalan tiba-tiba kena langgar atau jatuh tangga sampai patah kaki. 

"Jika situasi macam itu, travel insurance memang tanggung kos rawatan hospital," jelasnya.

Mohamad Basri Ibrahim, 49, mengalami pendarahan otak semasa melancong ke Vietnam. -Foto Harian Metro

Mohamad Basri Ibrahim mengalami pendarahan otak semasa melancong ke Vietnam.

Bagi situasi penyakit sedia ada seperti darah tinggi dan diabetes mahupun kes pendarahan otak yang tiba-tiba berlaku, tiada pelindungan dikenakan.

Malah katanya, kes pendarahan otak seperti itu berkemungkinan besar berkait dengan simptom atau penyakit lama yang wujud sebelum melancong.

"Kalau ada plan premium mahal yang boleh cover semua penyakit sedia ada, mungkin lain cerita. 

"Tapi untuk travel insurance biasa yang ramai orang ambil, memang tidak.

"Opsyen lain cuma guna kad perubatan peribadi yang diambil di Malaysia. Itu pun konsep dia pay and claim," tambahnya membandingkan situasi yang berlaku.

Mengulas lanjut, ujar Rohaniah Noor, kad perubatan peribadi yang diambil juga hanya akan membayar semula wang rawatan.

Namun katanya, kadar bayaran adalah mengikut kos rawatan di Malaysia dan bukan negara yang melakukannya.

"Kita kena bayar dulu tunai di hospital luar negara, balik Malaysia nanti baru buat tuntutan.

"Bayaran balik yang takaful atau insurans akan bayar semula adalah mengikut kadar rawatan di Malaysia, bukan kos hospital luar negara.

"Tapi kalaulah kita meninggal dunia, yang itu travel insurans cover kos bawa pulang jenazah...  tak kiralah meninggal dunia sebab kemalangan, sakit baru atau sakit sedia ada," jelasnya lagi.

Artikel Lain