suria

The Great Outdoor Expo 2025 main peranan penting menjelang Tahun Melawat Malaysia 2026

Manoharan (dua dari kanan) dan Chan (tengah) pada majlis pelancaran TGO 2025. Turut hadir (dari kiri) Ng, Rafidah dan Wang.

INISIATIF inovatif dan berimpak besar seperti The Great Outdoor (TGO) Expo 2025 memainkan peranan penting ketika negara bersiap sedia menyambut kempen Tahun Melawat Malaysia 2026 (VM2026).

Ketua Pengarah Tourism Malaysia, Datuk Manoharan Periasamy berkata, acara ini menghimpunkan elemen pengembaraan, budaya dan komuniti di bawah satu platform sambil mengetengahkan keunikan Malaysia sebagai destinasi pelancongan pilihan utama.

“The Great Outdoor Expo dan Star Karnival Cuti-Cuti Malaysia bukan sekadar acara. Ia merupakan platform penting yang menonjolkan hala tuju pelancongan negara.

“Dengan memberi tumpuan kepada eko-pelancongan, kelestarian dan inovasi, ia menunjukkan komitmen kita terhadap pelancongan yang bertanggungjawab dan bersedia untuk masa depan,” katanya ketika majlis pelancaran TGO di MAEPS Serdang pada Sabtu.

Ekspo selama tiga hari itu diadakan dengan kerjasama Karnival Cuti-Cuti Malaysia (KCCM).

Menurut Jabatan Perangkaan, Manoharan berkata, negara merekodkan lebih 260 juta pelawat domestik tahun lalu, meningkat 21.7 peratus berbanding 213.7 juta pada 2023.

Beliau berkata, program tempatan seperti ini mampu memberi impak positif kepada industri pelancongan dengan menggalakkan lebih ramai rakyat melancong dalam negara.

“Lebih mengagumkan, perbelanjaan pelancongan domestik turut melonjak sebanyak 25.7 peratus kepada RM106.7 bilion tahun lalu.

Throngs of visitorsat The Great Outdoor Expo and Karnival Cuti-Cuti Malaysia 2025, promoting local adventure and tourism. — RAJA FAISAL HISHAN/The Star. — RAJA FAISAL HISHAN/The Star

Pengunjung menikmati hari santai sempena TGO dan Karnival Cuti-Cuti Malaysia 2025.

“Kejayaan ini bermakna lebih banyak peluang pekerjaan diwujudkan di kampung dan bandar, peluang untuk usahawan kecil serta penggiat seni tempatan, selain menzahirkan semula rasa bangga terhadap landskap dan warisan Malaysia,” katanya.

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Star Media Group (SMG), Chan Seng Fatt berkata, edisi kedua TGO tahun ini lebih besar dan meriah dengan pelbagai aktiviti untuk seisi keluarga.

Tahun ini, katanya, TGO bekerjasama dengan Tourism Malaysia bagi menganjurkan Star Karnival Cuti-Cuti Malaysia, sekali gus mengukuhkan peranan pelancongan dalam pembinaan negara dan semangat kebanggaan rakyat.

“Di Star Media Group, kami percaya kepada penciptaan pengalaman bermakna yang menghubungkan manusia. Penganjuran TGO pertama tahun lalu menyatukan rakyat Malaysia dengan minat bersama terhadap aktiviti luar.

“Tahun ini kami kembali dengan edisi yang lebih besar dan berani, meraikan semangat pengembaraan, penemuan dan keindahan alam sekitar.

“Lebih penting, ia mengingatkan kita bahawa khazanah semula jadi Malaysia, dari Gunung Kinabalu hingga Sipadan, hutan hujan tropika hingga pantai yang memukau adalah sumber kesejahteraan, pertumbuhan ekonomi dan kebanggaan negara,” katanya pada majlis pelancaran itu.

TGO yang berakhir hari ini menampilkan lebih 200 gerai pameran dengan penyertaan lebih 100 pengusaha, antaranya aktiviti 4x4 Adventure oleh Toyota, acara memancing oleh OAG Worldwide, serta peralatan inovatif daripada 10Camp. 

SERDANG: Tourism Malaysia director-general Datuk Manoharan (most left) and Star Media Group (SMG) chief executive officer Chan Seng Fatt flagging off participants of the Fun Run at The Great Outdoor 2025 (TGO) in collaboration with Karnival Cuti-Cuti Malaysia (KCCM) held at MAEPS Serdang. — RAJA FAISAL HISHAN/The Star

Larian Santai sempena TGO 2025 menerima sambutan luar biasa.

Ia turut menawarkan pelbagai aktiviti keluarga bersama Bangi Wonderland, sukan ekstrem, larian santai, pertandingan mewarna, zoo mini dan banyak lagi.

Chan turut merakamkan penghargaan kepada Tourism Malaysia atas kerjasama menjayakan TGO tahun ini yang merupakan ekspo rekreasi luar terbesar setakat ini.

“Penganjuran sebesar ini hanya dapat direalisasikan melalui kerjasama kukuh. Bagi pihak Star Media Group, saya merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada Tourism Malaysia atas kerjasama berterusan, kepada para penaja dan pempamer atas sokongan mereka, serta kepada semua pasukan yang telah bekerja keras menjayakan acara ini,” katanya.

Turut hadir pada majlis pelancaran itu ialah Timbalan Ketua Pengarah Tourism Malaysia, Datin Rafidah Idris; Ketua Pegawai Kandungan SMG, Datin Paduka Esther Ng; dan Ketua Pegawai Operasi SMG, Lydia Wang.

TGO 2025 mengetengahkan kepelbagaian tawaran eko-pelancongan dan rekreasi luar negara ini.

Masuk adalah percuma dan pengunjung boleh menyertai pelbagai aktiviti seperti panjat dinding, simulator pengembaraan realiti maya (VR), gelongsor tali zipline serta demonstrasi berkhemah.

Ekspo ini turut mengumpulkan pempamer yang memperkenalkan peralatan luar terkini, kelengkapan berkhemah serta konsep pelancongan mesra alam seperti resort glamping dan perkampungan eko, mencerminkan minat yang semakin meningkat terhadap pelancongan bertanggungjawab dan aktiviti berasaskan alam semula jadi.

Artikel Lain