SABAN tahun, ratusan ribu umat Islam dari Malaysia dan seluruh dunia berangkat ke Makkah dan Madinah untuk menunaikan ibadah haji atau umrah.
Kebiasaannya, para jemaah akan mendaftar melalui pakej umrah dan ziarah yang merangkumi pelbagai aktiviti penyucian jiwa di Tanah Suci.
Namun bermula Januari 2026, pengalaman ibadah umrah memasuki satu dimensi baharu menerusi IslamiCruise, pelayaran umrah pertama seumpamanya di Malaysia.
ARTIKEL BERKAITAN: Risau tengok ramai Muslim nikmati ‘street food’ di Myeongdong, wanita kongsi 7 makanan mungkin tak halal
Dikelolakan oleh Aroya Cruises, pelayaran selama 15 hari ini dijangka menawarkan pengalaman ziarah yang lebih unik dan selesa, sambil membawa penumpang menikmati persinggahan eksotik di beberapa destinasi antarabangsa.
Pelayaran IslamiCruise akan bermula di Terminal Pelayaran Pelabuhan Klang, Selangor, dan seterusnya berlabuh di beberapa destinasi menarik termasuk Banda Aceh (Indonesia), Oman dan Maldives, sebelum tiba di Arab Saudi.
Para jemaah akan bermalam selama dua malam di Jeddah sebelum memulakan ibadah mereka di Makkah dan Madinah.
Menariknya, laluan ini pernah menjadi pilihan jemaah haji pada zaman dahulu yang menggunakan kapal laut untuk ke Tanah Suci, sekali gus menjadikan IslamiCruise sebagai satu bentuk kembara ibadah moden namun berinspirasikan tradisi lama.
Salah satu kabin dalam kapal Aroya.
Pelayaran ini adalah sehala (one-way), jadi tiket penerbangan pulang perlu diuruskan secara berasingan, dan tidak termasuk dalam harga pakej pelayaran asas.
Meskipun fokus utama adalah pelayaran umrah, IslamiCruise turut mengalu-alukan penumpang bukan Islam.
Pakej khas akan disediakan untuk mereka, tanpa aktiviti ibadah umrah, namun masih boleh menikmati keselesaan dan kemudahan pelayaran sepenuhnya.
Kemudahan mewah dan aktiviti kerohanian di samudera
Mampu menampung lebih 3,500 penumpang, Aroya Cruises menawarkan pelbagai jenis penginapan termasuk suite mewah, kabin standard dan vila eksklusif.
Pelbagai kemudahan dan aktiviti disediakan untuk jemaah serta penumpang, antaranya kolam renang dan gelongsor air, mini golf dan padang bola sepak mini, program kuliah rohani serta aktiviti hiburan lain yang sesuai buat seisi keluarga.
Paling istimewa, kuliah pemantapan rohani akan disampaikan oleh dua pendakwah terkenal iaitu Ustaz Wadi Anuar (Malaysia) dan Ustaz Abdul Somad (Indonesia).
Projek IslamiCruise ini juga diiktiraf secara rasmi oleh kerajaan Malaysia sebagai sebahagian daripada inisiatif Visit Malaysia 2026, sekali gus dijangka memberi impak ekonomi positif kepada negara.
Tempahan untuk pelayaran IslamiCruise kini telah dibuka dan boleh dibuat melalui lima agensi pelancongan umrah dan haji yang diiktiraf, termasuk Tabung Haji Travel & Tours dan Andalusia Travel & Tours
Untuk maklumat lanjut dan senarai penuh ejen pelancongan rasmi, layari: www.pelayaranislamik.com