suria

Banyak cawangan dah 'bungkus', catat kerugian lebih RM30 juta... Empayar stik Salt Bae di ambang kejatuhan

Restoran stik milik Salt Bae terkenal dalam kalangan selebriti dan golongan elit. -Foto Instagram

RESTORAN mewah milik cef sensasi, Nusret Gökçe atau lebih dikenali sebagai Salt Bae, dilaporkan mengalami kerugian sebanyak £5.5 juta (sekitar RM31.14 juta) pada 2024, meskipun popularitinya di media sosial dan kalangan selebriti dunia masih kukuh.

Terkenal dengan gaya ikonik menabur garam di atas stik dengan siku berlipat dan mengenakan harga luar biasa untuk hidangan mewahnya, perniagaan Salt Bae di Amerika Syarikat (AS) kini dilihat semakin merosot.

Sebelum ini rangkaian restoran mewahnya, Nusr-Et Steakhouse memiliki tujuh cawangan di AS. 

Namun kini hanya tinggal dua restoran, selepas cawangan di Beverly Hills, Dallas, Boston, Las Vegas dan New York City terpaksa ditutup.

Aksi signatur menabur garam yang menjadi fenomena. 

Syarikat induk Nusr-Et di United Kingdom (UK) menjelaskan bahawa kerugian tersebut berpunca daripada penilaian semula aset di AS, yang menyebabkan penghapusan aset bernilai kira-kira £6 juta (RM33.97 juta) memberi kesan langsung kepada laporan kewangan mereka.

Biarpun cawangan Nusr-Et di Knightsbridge, London berjaya menjana lebih £10 juta (RM56.61) pendapatan, namun ini tidak mencukupi untuk menampung kerugian keseluruhan syarikat.

Walaupun begitu, Salt Bae secara peribadi masih memiliki kekayaan dianggarkan sekitar £44 juta (RM249.09 juta).

Restoran mewahnya yang pernah dikunjungi selebriti seperti David Beckham dan Cristiano Ronaldo menawarkan menu 'kayangan', dengan yang menjadi perbualan ramai adalah seperti Giant Tomahawk berharga £630 (RM3,566), kentang lenyek berharga £12 (RM68) dan baklava emas 24 karat berharga £50 (RM283).  

Salt Bae dikritik hebat selepas aksinya memasuki padang dan menjulang piala sewaktu Piala Dunia 2022.

Di tengah-tengah kemashyurannya, percaya atau tidak, restoran ini hanya memperoleh penilaian 2.9 daripada 5 bintang di TripAdvisor, satu angka yang mengejutkan bagi jenama berprestij sepertinya.

Sebelum 'diterjah' dengan isu kerugian, Salt Bae sendiri terpalit kontroversi yang mengundang kemarahan ramai, antaranya ketika aksi final Piala Dunia 2022, di mana dia mengambil gambar dengan trofi dan menggigit pingat pemain Argentina hingga mencetuskan siasatan FIFA.

Selain itu, Salt Bae dicemuh kerana tidak peka dengan realiti kewangan pelajar, susulan tindakannya membuat tawaran potongan harga sebanyak 30 peratus kepada golongan itu untuk menu stik bersalut emas di cawangan restorannya di Boston.

Biarpun sedar dirinya menjadi kecaman ramai, cef tersebut tidak mengambilnya sebagai pengajaran malah mempamerkan gaya hidup mewahnya termasuk hartanah seperti Istana Macka bernilai £36 juta (RM203.52 juta) di Istanbul. 

Artikel Lain