INSIDEN luar jangka dalam penerbangan bukanlah sesuatu yang menghairankan.
Pelbagai kejadian membabitkan masalah teknikal, sikap penumpang, hingga isu hidangan dalam pesawat sering dilaporkan.
Ada kes yang mengundang kecederaan, tidak kurang juga berakhir dengan tragedi.
Antara insiden yang mencuri perhatian adalah kejadian melibatkan seorang lelaki warga emas maut selepas dipercayai tercekik ketika menikmati makanan dalam pesawat milik Qatar Airways.
Memetik laporan People pada 8 Oktober baru-baru ini, waris kepada mangsa memfailkan saman bagi menuntut ganti rugi atas kecuaian dan kematian 'salah' atau dianggap tidak patut itu sebanyak AS$128,821 (RM544,268) selain dana untuk menampung kos guaman.
ARTIKEL BERKAITAN: Rasai pengalaman pergi umrah naik 'cruise', pelayaran ibadah sambil lawat 4 negara
Kejadian yang menimpa lelaki warga California bernama Asoka Jayaweera, 85, itu berlaku ketika mangsa dalam penerbangan dari Los Angeles ke Sri Lanka pada 1 Ogos 2023.
Menurut tuntutan mahkamah yang difailkan anak mangsa, Surya Jayaweera, bapanya merupakan seorang vegetarian yang sangat ketat dan sudah memohon hidangan khas tanpa daging lebih awal.
Namun, seorang pramugari memaklumkan bahawa tiada lagi hidangan vegetarian yang tersedia dan mangsa diberikan menu biasa.
Malah mangsa diarahkan supaya hanya 'makan di sekeliling daging' yang disediakan.
Ketika menjamah makanan itu, mangsa dipercayai tercekik makanan, namun dalam tuntutan berkenaan tidak menyatakan secara khusus apakah yang menyebabkannya dia tersedak.
Krew penerbangan kemudian menghubungi MedAire, sebuah perkhidmatan perubatan berpangkalan di Arizona yang memberikan sokongan kecemasan daripada jauh kepada syarikat penerbangan..
Namun, juruterbang didakwa tidak dapat melakukan pendaratan cemas kerana pesawat ketika itu melintasi Bulatan Artik.
Bagaimanapun, Surya dalam tuntutannya menafikan perkara itu dan berkata pesawat sebenarnya berada di ruang udara Wisconsin, Amerika Syarikat, serta berkemungkinan besar boleh melakukan pendaratan kecemasan.
Jayaweera tidak sedarkan diri selama lebih tiga setengah jam sebelum pesawat mendarat di Edinburgh, Scotland.
Dia kemudian dibawa ke hospital dan meninggal dunia pada 3 Ogos 2023 akibat radang paru-paru aspirasi, satu jangkitan yang berlaku apabila makanan atau cecair memasuki paru-paru.
Qatar Airways setakat ini belum memberikan sebarang maklum balas.
Sementara itu dalam insiden berasingan yang dilaporkan berlaku pada Oktober 2024, sebuah penerbangan Singapore Airlines terpaksa dilencong ke Paris selepas seorang penumpang mengalami reaksi alahan teruk terhadap makanan laut yang dihidangkan.
Dr Doreen Benary, 41, seorang penduduk Manhattan, dilaporkan jatuh sakit selepas didakwa memakan hidangan mengandungi udang dalam penerbangan dari Frankfurt ke New York City.
Dia menerima rawatan kecemasan di dua fasiliti perubatan di Perancis dan dilaporkan pulih sepenuhnya.
                        
                        
                        
                        
                        
                        
                        
                        
                        
                        
                        
                        
                        
                        
                        
                        

