suria

“Pergi 10, balik 10” - Orang Asli tegur sikap pendaki pentingkan diri, ibarat kurang ajar dalam tradisi hutan

Selain persediaan, kerjasama sesama ahli kumpulan juga merupakan perkara penting ketika melakukan pendakian. -Gambar hiasan

TRAGEDI menimpa seorang pendaki, Mustaqqeem Mansoor, yang maut di puncak Gunung Liang, Tanjung Malim, Perak, ternyata mengundang perhatian ramai.

Difahamkan lelaki berusia 34 tahun dari Sungai Petani, Kedah itu menyertai ekspedisi pendakian bersama sepuluh pendaki lain bermula 10 Oktober lalu dari Bukit Fraser, Pahang dan dijadualkan turun di Gunung Liang.

Namun, kali terakhir dia dilihat pada Selasa (14 Oktober) sekitar pukul 10.30 malam dalam keadaan sakit kaki dan berjalan perlahan.

ARTIKEL BERKAITAN: Mana ‘sweeper’, MGP? Komuniti ‘hiking’ persoal kes pendaki Gunung Liang ditemukan maut, tergamak tinggalkan seorang diri

Usaha mencari dan menyelamat (SAR) oleh pasukan penyelamat akhirnya menemukan jasad Mustaqqeem pada petang Khamis, iaitu selepas dua hari dia dilaporkan hilang. 

Ketika orang ramai masih tanya-tanya tentang apa yang berlaku, seorang individu dari komuniti Orang Asli memberi perspektif yang cukup mendalam.

Menurutnya kes ini bukan sahaja menyentuh soal tanggungjawab terhadap rakan sepasukan, tetapi juga mencerminkan nilai dan etika yang masyarakat yang hidup berharmoni dengan hutan.

Group of people on peak mountain climbing helping team work with sunset background , travel trekking success business conceptSikap bantu-membantu akan memastikan keselamatan dan kejayaan setiap pendakian. -Gambar hiasan

"Berita kematian buddy group hiking ditinggalkan sendirian oleh group sehingga mati sebegini memang buat aku cukup marah.

"Aku ni Orang Asli, benda tu ibarat kurang ajar dalam tradisi hutan.

"Prinsip utama kena ada dalam kepala, pergi balik mesti dalam keadaan selamat dan cukup. Pergi 10 balik 10," tulisnya dalam hantaran di media sosial.

Ujarnya, mereka juga akan cakna sekiranya terserempak dengan kumpulan pendaki di hutan walaupun tidak terlibat dengan ekspedisi pendakian, semata-mata atas dasar tanggungjawab sesama manusia.

"Kami bersedia dengan sebarang kemungkinan. Selalu kami akan bertanya, memberi tip atau offer jika perlu bantuan. Takut apa-apa berlaku selepas tu sebab hutan dah sebati dalam diri.

"Menjadi tanggungjawab kami memelihara (hutan) dan ia juga mudah untuk kami aturkan sesuatu apabila berlaku kecemasan.

"Point saya, apa jua keadaan, jangan bersikap pentingkan diri. Krisis boleh dielakkan dengan kerjasama smart team. Perlu ada rasa tanggungjawab di hutan.

"Jika ada sifat pentingkan diri, maut menunggu... itulah cara Orang Asli amalkan. Kerjasama, tanggungjawab dan ilmu ilmu kecemasan hutan," tulisnya.

Sehingga kini perkongsian tersebut meraih hampir 200 shares, selain rata-rata netizen turut menyokong pandangan individu tersebut.

Artikel Lain