RIBUAN pengunjung membanjiri taman tema Sunway Lagoon dan Sunway Lost World of Tambun pada malam Isnin untuk melihat pertunjukan bunga api selama tiga minit yang menjadi kemuncak kepada The Grand Deepavali Celebration, antara sambutan Deepavali terbesar di Malaysia.
Perayaan penuh warna-warni yang bermula 15 hingga 22 Oktober itu diraikan bagi menonjolkan semangat kepelbagaian budaya serta keharmonian masyarakat berbilang kaum di negara ini.
Kali ini, sambutan Deepavali berjaya menghimpunkan keluarga tempatan, pelancong dari negara Asean serta pengunjung antarabangsa, menjadikan suasana di taman tema tersebut bagaikan 'pertemuan budaya dunia'.
Menurut Ketua Pegawai Eksekutif Sunway Theme Parks, Profesor Calvin Ho, Deepavali adalah sambutan cahaya, budaya dan kebersamaan yang diraikan dengan penuh semangat dan kebanggaan.

Calvin (tengah, baris belakang) bersama pengunjung yang hadir ke Sunway Lagoon.
"Melalui acara seperti ini, kami berhasrat mewujudkan ruang inklusif untuk masyarakat dari pelbagai latar belakang berkumpul dan menghargai kekayaan warisan budaya Malaysia. Inilah keunikan yang membezakan negara ini daripada negara lain di Asia.
"Di Sunway Lagoon sendiri, kita dapat lihat pelbagai bangsa seperti India, Arab dan Eropah bergembira bersama di taman tema air. Selain dekorasi, kami turut menyediakan pelbagai aktiviti dan hidangan istimewa seperti makanan India-Malaysia.
"Pelancong dari India juga boleh menyaksikan bagaimana masyarakat di sini meraikan Deepavali dengan penuh semangat. Itulah yang menjadikan Malaysia begitu istimewa. Melalui sambutan ini, kami ingin menyampaikan mesej dan harapan agar hari yang mulia ini terus menerangi kehidupan kita semua," ujarnya kepada mStar.
Acara turut dimeriahkan dengan persembahan muzik, tarian dan pertunjukan kebudayaan seperti Melodies of Deepavali, Colours of Bhangra dan Perarakan Dhol.
Kemuncak malam itu diserikan dengan pertunjukan bunga api muzik di kedua-dua taman tema berkenaan, melambangkan makna sebenar Deepavali sempena kegembiraan, perpaduan dan permulaan baharu.

Kemeriahan sambutan Deepavali berlangsung sehingga malam hari.
Selain sesi ramah mesra bersama maskot popular Captain Quack dan keluarganya, pengunjung juga boleh melihat hiasan kolam berwarna-warni serta bergambar di zon foto bertema perayaan bagi merasai keindahan dan kehangatan sambutan Pesta Cahaya yang ikonik itu.
Sambutan ini juga meneruskan komitmen Sunway Theme Parks terhadap semangat keterangkuman budaya selepas kejayaan penganjuran acara besar seperti Hari Raya, Tahun Baharu Cina dan Krismas yang menjadikannya simbol perpaduan dalam kepelbagaian.
Menjelang Tahun Melawat Malaysia 2026, acara kebudayaan berskala besar seperti ini memainkan peranan penting dalam memperkukuh daya tarikan negara sebagai destinasi pelancongan utama.
Melalui gabungan muzik, seni dan aktiviti komuniti, Sunway Lagoon serta Sunway Lost World of Tambun bukan sahaja mempromosikan identiti pelbagai budaya Malaysia di peringkat global, malah turut membantu merancakkan ekonomi tempatan dan sektor pelancongan keluarga.
                        
                        
                        
                        
                        
                        
                        
                        
                        
                        
                        
                        
                        
                        
                        

