suria

Kakak kalut ambil wuduk, tinggal kerja lepas dengar azan... Adik akhirnya belajar sesuatu, solat hak Allah bukan ‘selit’ tunggu masa lapang

Menyegerakan solat turut ditekankan oleh Rasulullah menerusi sabda Baginda. -Gambar hiasan

DALAM kesibukan menjalani rutin harian, kita sering terleka dengan tuntutan kerja dan pelbagai komitmen hingga adakalanya mengabaikan kewajipan untuk mendirikan solat.

Tidak terkecuali buat seorang wanita muda ini namun kunjungan ke rumah kakaknya membuka mata mengenai kewajipan mendahulukan solat berbanding perkara lain.

ARTIKEL BERKAITAN: Jangan ambil mudah melewatkan solat kerana tempat mereka ialah di neraka Wail

"Minggu lepas pergi rumah kakak aku tolong dia siapkan tempahan kuih. Tengah-tengah buat kuih dekat dapur, azan pun berkumandang.

"Lepas azan, kakak rushing pergi bilik air. Lepas tu terus bentang sejadah. Aku tanya... tak tunggu Asyraf tidur dulu ke? Nanti kacau pula solat.

"Dia senyum je dan jawab... kalau tunggu semua tenang baru nak solat, memang takkan solat. Kadang kita yang kena belajar tenang dalam solat tu," kongsinya dalam satu hantaran di TikTok.

Ujar wanita tersebut, jawapan yang dituturkan oleh kakaknya itu seolah-olah teguran halus namun tajam yang mengenai batang hidung sendiri.

"Masa tu aku terdiam, sebab aku selalu rasa nak selesaikan hal dulu, baru solat. Padahal hak Allah, bukan benda terakhir kita patut selit.

"Sejak itu aku cuba tukar cara berfikir, bukan tunggu masa lapang untuk solat… tapi solat dulu, Allah yang bagi lapang lepas tu," tulisnya lagi.

Solat merupakan rukun Islam kedua. -Gambar hiasan

Perkongsian berkenaan sehingga kini meraih 470,000 jumlah tontonan selain dibanjiri komen netizen yang rata-ratanya melontarkan ucapan terima kasih kerana memberi teguran dan peringatan untuk kebaikan bersama.

Sekadar renungan, Rasulullah turut menekankan mengenai kepentingan mendirikan solat di awal waktu di dalam sebuah hadis yang diriwayatkan Abu Daud.

Baginda Rasulullah pernah ditanya: "Apakah amalan-amalan yang lebih utama?"

Baginda bersabda: "Sembahyang pada awal waktunya." (HR Abu Daud 362).

Firman Allah di dalam Surah Al-Ma'un ayat 4 dan 5, maksudnya: Kalau orang yang demikian dikira dari bilangan orang-orang yang mendustakan agama, maka kecelakaan besar bagi orang-orang ahli sembahyang (iaitu) mereka yang berkeadaan lalai daripada menyempurnakan sembahyangnya.

Difahami dalam ayat ini bahawa mereka yang sengaja melewatkan solat sehingga habis waktunya maka termasuk dalam kalangan orang yang dicelakakan Allah.

Artikel Lain

Sheqal meninggal dunia