suria

Ikut waktu Malaysia atau Makkah? Ramai keliru waktu mustajab doa Hari Arafah, ini penjelasan mutawif

Umat Islam digalakkan memperbanyakkan doa ketika Hari Arafah. -Gambar hiasan

HARI Arafah yang jatuh pada tanggal 9 Zulhijah merupakan salah satu tarikh penting dalam Islam.

Pada tarikh ini, jutaan jemaah berwukuf di Padang Arafah bagi melengkapkan ibadah haji mereka sebelum Hari Raya Aidiladha disambut pada 10 Zulhijah.

Pada masa sama, umat Islam yang tidak berada di Makkah turut digalakkan untuk berpuasa sunat Hari Arafah dan melipat gandakan doa berbanding hari-hari biasa.

Namun, timbul pula persoalan mengenai waktu paling mustajab untuk berdoa bagi umat Islam yang tidak berada di Makkah.

Sebagai contoh, jika kita berada di Malaysia, adakah ia perlu dilakukan mengikut waktu dan tarikh Makkah atau waktu negara sendiri?

Ustazah Siti Aminah berkongsi tentang doa Hari Arafah menerusi aplikasi TikTok.

Berikut merupakan penjelasan daripada penceramah, mutawif dan penulis, Ustazah Siti Aminah Sulieman mengenai hal itu.

Waktu mustajab doa yang paling utama ketika musim haji ialah:

1. Hari Arafah (9 Zulhijah)

Hari Arafah sendiri adalah antara hari paling mustajab untuk berdoa, walaupun seseorang itu tidak menunaikan haji.

2. Waktu wukuf di Arafah

Ini adalah waktu paling afdal untuk berdoa. Hal ini kerana Hari Arafah merujuk kepada waktu wukuf yang dilakukan jemaah haji. Maka, menghormati waktu tersebut dengan sama-sama berdoa juga adalah satu jalan ibadah.

Seeloknya, kita berdoa sahaja pada kedua-dua hari iaitu Khamis (waktu wukuf jemaah haji) dan Jumaat (hari Arafah tanah air).

"Kalau Khamis (5 Jun) tu lepas Asar (waktu sesuai berdoa) sebab jemaah berwukuf lepas Zohor waktu sana.

"Jumaat full day sebab Jumaat memang tarikh 9 Zulhijah bersamaan Hari Arafah. Dan jangan lupa Jumaat malam Sabtu malam Aidiladha, mustajab juga doanya," tulisnya di aplikasi TikTok.

Pesan Ustazah Siti Aminah lagi, sebaik-baiknya jangan pilih satu hari sahaja kerana kedua-dua hari ada barakahnya yang tersendiri.

 

Artikel Lain

Sheqal meninggal dunia