suria

Hadis sahih cerita tentang keringnya Laut Galilee, apa kaitannya dengan tanda kiamat?

Terdapat beberapa hadis yang menceritakan perihal Laut Galilee.

PARAS air di Laut Galilee atau Tasik Tabariyyah yang semakin menyusut bukan sekadar satu fenomena alam biasa.

Bagi mereka yang mendalami ilmu agama, keringnya air kawasan itu disebut-sebut sebagai salah satu tanda kemunculan Dajal.

Walaupun namanya Laut Galilee, ia sebenarnya merupakan sebuah tasik air tawar yang terletak di utara Israel.

Selain Laut Galilee, ia turut dikenali dengan beberapa nama lain seperti Tasik Gennesaret, Tasik Kinneret, Laut Tiberias dan Tasik Tiberias

Menurut laman web Mufti Wilayah Persekutuan, terdapat beberapa hadis yang menceritakan perihal tasik itu.

Daripada al-Nawwas bin Sam’an RA, Nabi SAW bersabda:

Maksudnya: “Allah SWT akan mengutuskan Ya’juj dan Ma’juj dan mereka akan datang dari segala penjuru dengan begitu cepat. Mereka akan melalui Tasik Tabari dan akan meminum apa yang ada di dalamnya (sehingga kering) sehinggakan yang terakhir daripada kalangan mereka berkata: Tadi ada air di tasik ini.” [Riwayat Muslim]

Laut Galilee merupakan sebuah tasik air tawar.

Imam Mulla Ali al-Qari ketika mensyarahkan hadis mengatakan Ya’juj dan Ma’juj akan minum air dari Tasik Tabari ini sehingga yang terakhir atau salah seorang daripada mereka akan berkata bahawa dahulunya tasik atau tempat ini mempunyai air yang banyak. 

Di samping itu juga, Imam al-Qurtubi ada menyebutkan di dalam kitabnya bahawa Ya’juj dan Ma’juj ini akan minum air dari Tasik Tabari ini.

ARTIKEL BERKAITAN: Nabi sudah lama pesan, 6 penyakit akan menimpa umat akhir zaman!

Justeru, di dalam hadis jelas menyatakan air di Tasik Tabari akan kering akibat diminum oleh Ya’juj dan Ma’juj apabila mereka muncul di akhir zaman nanti dan ini juga menunjukkan bilangan Ya’juj dan Ma’juj begitu ramai.

Disebabkan itu al-Quran dan Nabi SAW menyatakan bahawa mereka iaitu Ya’juj dan Ma’juj akan keluar dengan meluru turun dari tiap-tiap tempat yang tinggi.

Firman Allah SWT:

Maksudnya: “(Demikianlah keadaan mereka) sehingga apabila terbuka tembok yang menyekat Ya'juj dan Ma'juj, mereka akan meluru turun dari tiap-tiap tempat yang tinggi.” [al-Anbiya']

Kesimpulannya, hadis yang menyatakan berkaitan Tasik Tabari akan kering adalah hadis yang sahih kerana ia diriwayatkan oleh Imam Muslim di dalam sahihnya. 

Di samping itu, peristiwa ini akan berlaku di akhir zaman apabila munculnya Ya’juj dan Ma’juj yang mana keluarnya mereka ini termasuk di dalam tanda-tanda besar kiamat. 

Untuk rekod, Laut Galilee atau Tasik Tabariyyah memiliki ukur lilit sepanjang kira-kira 53 kilometer (km), kira-kira 21km panjang dan 13km lebar. 

Tasik ini memiliki keluasan sebanyak 166 km² dan kedalaman maksima kira-kira 43 meter. 

Menurut laporan Reuters pada Januari 2023, Israel mengepam air untuk disalur ke Laut Galilie yang semakin menyusut.

 

Artikel Lain

Sheqal meninggal dunia