DALAM budaya dan amalan masyarakat di Malaysia, pelbagai ikhtiar akan dilakukan bagi mencari orang hilang termasuklah menggunakan khidmat bomoh dengan melakukan ritual pelik.
Bagaimanapun ia mencetuskan persoalan sama ada kaedah sebegitu dibenarkan daripada sudut hukum syarak.
Menjawab isu berkenaan, bekas Mufti Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri menjelaskan bahawa perbuatan menggunakan kaedah perbomohan (tidak bersandarkan kepada ajaran Islam) dan bercanggah dengan syarak adalah haram serta berdosa.
Katanya, perbuatan seperti itu termasuk dalam kategori tahyul dan khurafat yang ditegah keras dalam Islam kerana tidak mempunyai asas daripada al-Quran mahupun sunah.
Ini termasuk ritual yang sengaja diada-adakan seperti memusingkan kain, merenjiskan air dan membuat dakwaan tidak masuk akal tanpa sandaran daripada nas yang sahih.
Bagaimanapun, berbeza pula sekiranya kaedah yang digunakan selari dengan syariat seperti bacaan ayat suci al-Quran, zikir dan doa-doa ma’thur (yang diajar oleh Rasulullah SAW) tanpa mencampurkan unsur bertentangan.
Kaedah ini dikira sebagai ruqyah yang dibenarkan dalam Islam kerana agama sangat menitikberatkan soal akidah dan tidak membenarkan amalan yang diada-adakan.
Berdasarkan hadis sahih riwayat Muslim, Rasulullah SAW bersabda:
Maksudnya: Sesiapa yang mengadakan sesuatu yang baharu dalam urusan kami ini (agama), apa yang bukan berasal daripadanya, maka ia adalah tertolak. (Riwayat Muslim: 1718)
Orang ramai dinasihatkan supaya tidak mudah terpengaruh dengan sebarang bentuk rawatan atau ritual meragukan, walaupun tujuannya untuk membantu pencarian orang hilang.