suria

Kursus motivasi, program 'healing' suruh peserta sedekah al-Fatihah untuk diri sendiri... Rupanya Islam tak ajar amalan ini

Membaca al-Fatihah juga adalah satu ibadah dan doa serta dijanjikan ganjaran. -Gambar hiasan AI

AMALAN 'sedekah' surah al-Fatihah kepada diri sendiri yang dipopularkan oleh segelintir penceramah motivasi dianggap sebagai amalan pelik yang tidak pernah diajarkan Nabi Muhammad SAW.

Menurut Pengurus Strategi Maktabah al-Bakri, Mohamad Razif Mohamad Fuad, perbuatan itu tiada asas dalam sunah dan menyerupai unsur fahaman 'New Age' yang semakin menular dalam kalangan umat Islam hari ini.

"Amalan macam puji diri, 'self-gratification' (kepuasan diri), 'self-love' atau sedekah al-Fatihah untuk diri sendiri ni, memang ada bau-bau fahaman New Age.

"Dalam New Age, manusia konon ada 'kuasa dalaman' yang boleh tarik energy (semangat), sembuh diri atau beri aura positif. 

"Bila kita bawa masuk konsep tu dalam agama contohnya baca untuk diri sendiri sebab nak 'cas energy', bagi rezeki atau wujudkan vibe yang positif pada diri itu dah 'lari' dari maksud sebenar," jelasnya mengenai konsep sedekah tersebut.

Tambahnya lagi, membaca al-Fatihah sendiri sudah memberi pahala dan ganjaran kepada si pembaca, maka tidak perlu 'disedekahkan' kepada diri. 

Ustaz Razif merupakan seorang Pengurus Strategi Maktabah Al-Bakri.

Ustaz Razif.

Firman Allah dalam surah Fussilat menyebut:

Maksudnya: Sesiapa yang mengerjakan amal soleh, maka faedahnya akan terpulang kepada dirinya sendiri.

Katanya, jika ada mana-mana guru pondok yang mengajar amalan sebegitu, ustaz Razif mengalu-alukan untuk dikongsi perkara itu kepadanya.

Namun setakat pengetahuannya, tidak ada lagi tenaga pengajar yang berbuat sedemikian.

Sebelum ini, ustaz Rafiz menjelaskan bahawa fahaman 'New Age Movement' atau Gerakan New Age berasal dari Amerika Syarikat sekitar 1960an.

Kini gerakan itu mula mendekati masyarakat Islam di seluruh dunia, termasuk Malaysia, melalui kursus motivasi, pembangunan diri, perniagaan dan program spiritual.

Gerakan ini dilihat berbahaya kerana cenderung mencampur adukkan pelbagai ajaran agama dan menghasilkan fahaman baharu yang jelas bercanggah dengan akidah Islam.

Tambahnya, pengaruh New Age kini lebih mudah tersebar melalui media sosial, buku dan ceramah yang disertai. 

Justeru umat Islam perlu lebih berhati-hati dan menapis sebarang bentuk ajaran atau program 'healing' yang diceburi agar tidak terjebak dengan fahaman yang memesongkan.

Artikel Lain