IBU bapa disaran memilih individu yang tepat bagi tujuan tahnik, iaitu amalan 'membelah' mulut bayi dalam kalangan masyarakat Melayu.
Pendakwah bebas, Ahmad Husam Muhamad Baderudin menegur sesetengah ibu bapa yang terlalu mudah mempercayai sesiapa sahaja yang dipanggil 'ustaz' tanpa memastikan latar belakang individu tersebut.
Menurut anak kepada bekas Mufti Kedah, Datuk Dr Muhamad Baderudin Ahmad itu, dia sendiri berasa dirinya tidak layak untuk mentahnik bayi apabila diminta ibu bapa untuk berbuat demikian.
"Nak suruh ustaz-ustaz belah mulut anak atau cucu ni cari yang 'berjenis' (layak), macam (suruh) saya ni pun tak payah la, saya tau saya jenis macam mana," katanya dalam satu ceramah.
Dalam ceramah yang dikongsi di TikTok itu [Tonton Video], Ahmad Husam turut menyindir segelintir ustaz yang memilih untuk merokok terlebih dahulu sebelum mentahnik bayi.
Buah tamar kebiasaannya digunakan bagi tujuan membelah mulut bayi yang baru dilahirkan. -Gambar hiasan
"Kadang-kadang ustaz tu lepas kuliah, merokok tepi kereta ada ayah bawa anak minta tahnik. Dia letak rokok kretek atas side mirror sambil hembus asap.
"Kemudian ambil kurma bubuh dalam mulut lepas tu calit dalam mulut budak tu. Allah, baru lepas hisap rokok tu, budak tu pula kata 'rokok Surya ni'," katanya disambut gelak hadirin.
Justeru Ahmad Husam sekali lagi mengingatkan ibu bapa supaya lebih berhati-hati dan mencari individu yang benar-benar berilmu dan ikhlas, bukan sekadar mengejar amalan tanpa asas kukuh.
Sementara itu, Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan memaklumkan tahnik bermaksud membelah mulut bayi yang baru dilahirkan dengan buah tamar yang dikunyah dan digosokkan ke mulut bayi di bahagian lelangit dan sebahagiannya lagi masuk ke dalam perut bayi tersebut.
"Tahnik bayi adalah satu sunnah, namun ia tidaklah sampai ke tahap wajib dan jika seseorang itu meninggalkan perkara tersebut tidaklah dikira berdosa.
"Ulama menyatakan bahawa bayi yang baru lahir sunat dibawa menemui orang yang soleh dan bertakwa, meminta dan mentahniknya dan mendoakannya supaya beroleh kebajikan dan keberkatan.
"Dalam al-Mu’tamad menyebut, tahnik sayugia dilakukan di kalangan orang yang soleh untuk berdoa kepada bayi yang baru dilahirkan dan jika sekiranya tiada yang lelaki, maka perempuan yang solehah juga boleh melakukannya," katanya.