DEMI enggan mengganggu tidur rakan sebilik, seorang individu memilih untuk mendirikan solat Isyak dalam gelap selepas pulang lewat malam.
Situasi itu menimbulkan persoalan sama ada solat berkenaan sah atau tidak jika dilakukan dalam keadaan sedemikian.
Menurut portal pejabat Mufti Wilayah Persekutuan, solat dalam tempat gelap adalah dibolehkan selagi tidak mengganggu kekhusyukan.
Namun, beberapa syarat perlu dipatuhi seperti menghadap kiblat dengan betul, berpakaian menutup aurat dan memastikan tempat solat suci daripada najis.
Bagaimanapun kita juga dinasihatkan solat dalam suasana yang mempunyai sedikit cahaya jika kegelapan menimbulkan rasa takut atau ketidakselesaan sehingga menjejaskan kekhusyukan dalam solat.
Hukum ini turut disandarkan kepada riwayat Aisyah RA yang menyatakan Rasulullah SAW pernah mendirikan solat dalam keadaan rumah yang gelap kerana tiada lampu pada zaman itu.
Dalam hadis riwayat al-Bukhari, Aisyah RA menyebut bahawa Baginda SAW tetap bersolat walaupun dalam suasana tersebut.
Maksudnya: Aku tidur di samping Rasulullah SAW dan kakiku berada pada kiblatnya (tempat sujud). Sekiranya Baginda ingin sujud, Baginda menyentuhku lalu aku melipatkan kaki.
Kemudian apabila Baginda bangun, aku meluruskan semula kedua-dua kaki. Pada ketika itu, tiada lampu di rumah-rumah.
Maksud hadis itu menunjukkan bahawa solat dalam gelap bukan satu larangan, bahkan pernah diamalkan oleh Rasulullah SAW.
Allah SWT juga berfirman dalam Surah al-Mu’minun ayat 1 hingga 2.
Maksudnya: Sesungguhnya berjayalah orang-orang yang beriman, iaitu mereka yang khusyuk dalam sembahyangnya.
Secara kesimpulan, solat dalam gelap adalah sah dengan syarat-syarat asas solat dipenuhi.
Tetapi sebaiknya solat di tempat pencahayaan malap bagi mengelakkan keraguan atau rasa takut (ganggu kekhusyukan) yang menjadi asbab solat tidak sah.