KEJADIAN gempa bumi yang berlaku di seluruh dunia bukan sahaja mencetuskan kebimbangan berkaitan keselamatan dan kerosakan infrastruktur, tetapi dianggap antara tanda-tanda hampirnya hari kiamat, berdasarkan dalil daripada al-Quran dan hadis Nabi Muhammad SAW.
Menurut Jabatan Meteorologi Malaysia, gempa bumi adalah pergerakan mengejut permukaan bumi yang berlaku akibat pergerakan batuan di sepanjang garis sesar atau sempadan plat tektonik.
Aktiviti gunung berapi juga boleh menjadi punca kepada fenomena ini.
Lebih 90 peratus kejadian gempa bumi dunia berlaku di kawasan Lingkaran Api Pasifik, dan kesannya amat merosakkan termasuk runtuhan bangunan, kemusnahan infrastruktur serta kehilangan nyawa.
Kejadian gempa di Rusia pada 30 Julai lalu, berukuran 8.8 magnitud, turut mencetuskan tsunami kecil di beberapa negara.
Walaupun Malaysia tidak terletak di kawasan Lingkaran Api Pasifik, negara ini tidak terkecuali daripada kesan gempa bumi besar di rantau berhampiran.
Kejadian tsunami pada 26 Disember 2004 ekoran gempa bumi 9.1 magnitud di perairan Sumatera masih segar dalam ingatan rakyat, meragut lebih 230,000 nyawa di 17 negara, termasuk Malaysia.
Kota Kuala Muda di Kedah antara lokasi yang dilanda musibah tsunami pada 2004. Foto ZHAFARAN NASIB/Star Media Group
Tanda-tanda kiamat menurut Islam
Menurut pendakwah bebas, Syed Bakri Syed Ishak atau lebih dikenali sebagai PU Syed, gempa bumi yang berlaku secara berterusan di seluruh dunia selari dengan sabda Rasulullah SAW mengenai tanda-tanda kiamat.
Dalam hadis riwayat al-Bukhari, Abu Hurairah RA, menyebut Rasulullah bersabda: Tidak akan datang kiamat sehingga banyak terjadi gempa bumi.
Dalam satu lagi hadis daripada riwayat Ahmad, Rasulullah SAW bersabda bahawa: Sebelum tibanya hari kiamat, akan berlaku banyak kematian mengejut dan kemudian tahun-tahun gempa bumi.
Katanya, ia diperkuatkan lagi dengan riwayat daripada Abdullah bin Hawalah RA, di mana Rasulullah SAW bersabda bahawa: Apabila berlaku kekhilafan di bumi Baitulmaqdis, maka akan berlaku banyak gempa bumi, kesusahan, bencana dan peristiwa besar menandakan bahawa kiamat sudah semakin hampir.
Tambah PU Syed, Firman Allah SWT juga turut menyentuh perkara tersebut.
Berdasarkan Surah al-Zalzalah, ayat 1: Apabila bumi digegarkan dengan gegaran yang sedahsyat-dahsyatnya serta Surah al-Waqi’ah, ayat 4 (ia berlaku) semasa bumi bergoncang dengan sebenar-benar goncangan.
Menurut beliau, gempa bumi hari ini tidaklah sama dengan gegaran maha dahsyat yang bakal berlaku di akhir zaman, namun tetap merupakan satu bentuk peringatan yang jelas kepada umat manusia.
PU Syed turut menyeru umat Islam agar tidak mengambil ringan peringatan itu dengan fenomena semasa adalah bukti nyata bahawa dunia sedang menuju ke fasa akhir dan manusia sewajarnya kembali kepada Allah dengan bertaubat serta meninggalkan segala bentuk kemaksiatan.
“Jangan rasa kita di Malaysia selamat kerana jauh dari pusat gempa dunia. Cukup tsunami di Acheh dahulu menjadi pengajaran besar buat kita. Allah mampu datangkan azab dari mana-mana arah,” tegas beliau.
Katanya lagi, hari kiamat tidak akan berlaku selagi masih ada hamba Allah yang beriman di muka bumi, dan apabila tiada lagi iman walau sebesar zarah, maka ketika itulah dunia akan dimusnahkan secara total.