suria

[V] Kena betulkan niat, fahami tujuan sebelum gantung... Dr Maza perjelas isu pamer potret pemimpin

Dr Maza memberi penjelasan hukum menggantung gambar pemimpin.

MENGGANTUNG gambar pemimpin atau pemerintah di pejabat dan tempat awam adalah dibolehkan sekiranya ia bertujuan untuk mengenal pasti struktur pemerintahan, bukannya untuk diagungkan atau dipercayai membawa keberkatan.

Mufti Perlis, Datuk Dr Mohd Asri Zainul Abidin menjelaskan, hukum asal menggantung gambar bagi tujuan ta'zim (mengagungkan) adalah tidak dibenarkan dalam agama kerana ia termasuk perbuatan membesar-besarkan manusia.

"Mana-mana gambar yang digantung untuk ta'zim, untuk mengagung-agungkan, tidak dibolehkan. Dilarang dalam agama.

"Tetapi gambar atau objek yang bertujuan untuk pendidikan atau memberi maklumat, sebahagian ulama memberikan rukhsah (keringanan),” katanya dalam sebuah ceramah [Tonton Video].

Gambar pemimpin mudah dilihat di kawasan sekolah dan pejabat. -Gambar hiasanGambar pemimpin mudah dilihat di kawasan sekolah dan pejabat. -Gambar hiasan

Mohd Asri atau lebih dikenali sebagai Dr Maza menambah, contoh yang dibolehkan termasuk gambar dalam buku sejarah, filem atau papan tanda yang memberi maklumat seperti memaparkan gambar udang di kawasan terkenal dengan mi udang.

"Gambar pemimpin, apa tujuan? Kalau tujuannya untuk mengingatkan semua yang berurusan bahawa negeri ini ada struktur pemerintahan, ada pemerintah yang mesti diikut dan ditaati dalam hal-hal yang baik.

"Ia juga menunjukkan adanya tanggungjawab kepimpinan, dan bukan sebuah negara yang tiada sistem maka itu tidak mengapa," katanya.

Namun katanya, sekiranya digantung untuk dianggap membawa berkat atau rahmat, ia salah di sisi agama.

Menurutnya, di Perlis mereka mengambil pandangan yang membenarkan gambar dipamerkan untuk tujuan pendidikan atau memberi maklumat, termasuk memaklumkan kepada orang ramai tentang pemerintah baharu yang mengeluarkan arahan dan polisi semasa.

Artikel Lain

Keanu Reeves dah kahwin!