suria

Trak bantuan masuk ke Gaza... Ini 8 perkara akan berlaku pada fasa pertama gencatan senjata Hamas-Israel

Penduduk mencari barang yang dapat diselamatkan dari runtuhan Menara Salam di Bandar Gaza, berikutan serangan Israel. -Foto AFP

RUNDINGAN gencatan senjata antara Hamas dan Israel di Gaza yang akhirnya mencapai kata sepakat pada Rabu, disifatkan sebagai sinar harapan selepas sekian lama rakyat Palestin menanggung kesengsaraan akibat serangan berterusan rejim Zionis.

Pengumuman oleh Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump mengenai fasa pertama gencatan senjata tersebut menyusul selepas beberapa hari rundingan tidak langsung yang dijalankan di Mesir.

Negara-negara seperti Qatar, Mesir, Amerika Syarikat dan Turki memainkan peranan penting sebagai perantara dalam menjayakan perjanjian ini.

Malaysia sendiri menerusi Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, menyambut baik kemajuan dalam rundingan berkenaan yang disifatkan sebagai langkah awal yang positif ke arah penyelesaian yang lebih menyeluruh dan berkekalan di bumi Gaza.

ARTIKEL BERKAITAN: Perjanjian dicapai, Hamas umum henti perang di Gaza

Untuk rekod, fasa pertama pelan damai 20 perkara yang dirangka oleh Trump merangkumi gencatan senjata, pembebasan tebusan, pengunduran tentera Israel dari kawasan padat penduduk, dan kemasukan bantuan kemanusiaan berskala besar.

Penduduk membawa barang-barang menuju ke pusat bandar selepas tentera Israel mengeluarkan amaran untuk mengosongkan kediaman mereka di Gaza Utara.

Berikut merupakan 8 butiran utama perjanjian yang dijangka ditandatangani pada Khamis di Mesir:

1. Hamas akan membebaskan 20 tebusan Israel yang masih hidup sebagai langkah awal.

2. Sebagai balasan, Israel akan melepaskan hampir 2,000 tahanan Palestin. Pertukaran ini dijadualkan berlaku dalam masa 72 jam selepas perjanjian dikuatkuasakan.

3. Sekurang-kurangnya 400 trak bantuan akan dibenarkan masuk ke Gaza setiap hari selama lima hari pertama. Jumlah bantuan akan ditambah secara berperingkat.

4. Israel akan melaksanakan pengunduran tentera secara berjadual dari beberapa kawasan di Gaza.

5. Hamas menyeru Trump agar memastikan Israel melaksanakan semua perjanjian tanpa lengah atau cuba mengelaknya.

6. Jurucakap Kementerian Luar Qatar, Majed al-Ansari, mengesahkan bahawa semua butiran dan mekanisme pelaksanaan telah dipersetujui oleh kedua-dua pihak.

7. Seorang pegawai Hamas turut memaklumkan bahawa rundingan untuk fasa kedua gencatan senjata akan dimulakan dengan segera selepas pelaksanaan fasa pertama.

8. Trump menyatakan keyakinannya bahawa semua tebusan termasuk yang telah terkorban, akan 'kembali' pada hari Isnin.

Artikel Lain