TULAR di media sosial mengenai pelanggan di sebuah kafe menikmati menu unik yang dibuat menyerupai najis kucing.
Menerusi video yang dikongsikan, pelanggan perlu mencedok ketulan biskut daripada bekas berisi serpihan halus (crumbs), seolah-olah seperti sedang membersihkan bekas najis kucing peliharaan.
Difahamkan, menu tersebut yang disajikan di sebuah kafe di Sarawak, dicipta khas sempena sambutan Halloween dan boleh dinikmati sehingga awal November.
ARTIKEL BERKAITAN: Bergurau kongsi sejarah seks... PU Syed label trend S-Line sebagai 'kebodohan yang dipilih'
Video tersebut mengundang reaksi bercampur daripada netizen, dengan sebahagiannya menyifatkannya sebagai idea kreatif, namun sebahagian yang lain mengecam kerana berpendapat ia adalah bentuk penghinaan terhadap makanan.
Ia turut mengundang perhatian pendakwah bebas, Syed Mohd Bakri Syed Ishak atau lebih dikenali sebagai PU (Pencetus Ummah) Syed.
Menurut beliau, Islam menuntut umatnya menjamah makanan yang halal lagi baik (halalan toyyiban) sebagaimana firman Allah menerusi surah Al-Baqarah.

PU Syed memberi teguran berikutan video viral memaparkan pelanggan menikmati menu menyerupai najis kucing.
"Maksudnya: wahai sekalian manusia, makanlah kamu dari (hasil) yang terdapat di atas muka bumi (makanan) yang halal lagi baik.
(Surah al-Baqarah, ayat 168)
"Syeikh al-Sa'di telah mengulas ayat ini dengan mengatakan bahawa ianya ditujukan kepada seluruh manusia sama ada orang-orang beriman ataupun kafir, supaya memakan apa yang ada di atas muka bumi ini, yang terdiri daripada biji-bijian, buah-buahan dan binatang-binatang yang dihalalkan buat mereka mengambilnya (memakan dan mengambil manfaat daripadanya), bukan dengan cara merampasnya, atau mencuri atau dengan hasil muamalat (jual beli) yang diharamkan atau perkara-perkara yang diharamkan.
"Manakala toyyiban pula ialah bukan daripada perkara yang buruk (kotor dan jijik) seperti bangkai, darah, daging khinzir dan lain-lain.
"Ayat ini adalah merupakan dalil bahawa hukum asal bagi sesuatu perkara itu (untuk dimakan dan diambil manfaatnya) adalah harus," katanya kepada mStar.
Menjelaskan lebih lanjut, PU Syed berkata, kaedah Fiqh ada menyatakan, 'asal sesuatu hukum itu adalah diharuskan, sehingga terdapat dalil yang menunjukkan pengharamannya'.
"Syariat Islam menggariskan bahawa, umat Islam perlu makan makanan yang halal lagi baik.
"Walaupun makanan yang dihidangkan itu halal cuma dibentuk dengan bentuk-bentuk seperti najis, ini adalah perbuatan yang ditegah syarak.
"Kerana makanan itu sendiri ada kemuliaan dan jangan merendah-rendahkan martabat seorang manusia dengan berbuat demikian.
"Cukup-cukuplah buat perkara di luar tabii semata-mata demi content dan likes daripada manusia," akhirinya.


