DALAM Islam, istilah idah sering dikaitkan dengan wanita yang melalui penceraian atau kematian suami.
Ia merujuk kepada tempoh menunggu yang wajib dijalani oleh seorang wanita sebelum dia boleh berkahwin semula.
Tujuan utama idah adalah untuk memastikan tiada kekeliruan mengenai status kehamilan dan untuk memberi masa bagi pemulihan fizikal serta emosi wanita tersebut.
ARTIKEL BERKAITAN: “Tarikh tak termasuk rukun nikah...insya-Allah sah!” - Ustaz rungkai kekeliruan, kesilapan pada sijil boleh diperbetulkan
Namun, ramai kurang mengetahui bahawa idah juga boleh dikenakan kepada lelaki dalam situasi tertentu.
Bab ini jarang disentuh dalam perbincangan awam dan sering menimbulkan kekeliruan tentang bila dan mengapa seorang lelaki perlu mempunyai tempoh menunggu sebelum berkahwin lagi.
Menurut seorang Peguam Syarie, Muhammad Syarafi Mohd Salleh, pada asasnya, tiada idah bagi kaum lelaki.

Penceraian merupakan perkara yang dibenarkan dalam Islam, namun ia adalah jalan terakhir selepas segala usaha untuk berdamai tidak berhasil. -Gambar hiasan
"Lelaki ni boleh kahwin dengan mana-mana perempuan sebaik sahaja beliau bercerai selagi mana tidak terdapatnya halangan syarak.
"Walau bagaimanapun, sekiranya terdapat halangan syarak, maka seseorang lelaki hendaklah menunggu sehingga hilangnya halangan tersebut," tulisnya dalam satu perkongsian di Facebook.
Jelasnya, terdapat tiga keadaan yang menyebabkan seseorang lelaki perlu melalui tempoh menunggu ataupun idah, iaitu:
1. Apabila seseorang lelaki yang telah menceraikan salah seorang daripada empat isterinya dan ingin berkahwin dengan isteri yang kelima.
Dalam hal ini, lelaki tersebut hendaklah menunggu sehingga tamatnya tempoh idah isteri yang diceraikan tersebut.
2. Seseorang lelaki yang telah menceraikan isterinya dengan talak tiga.
Dalam keadaan ini, sekiranya lelaki tersebut ingin berkahwin semula dengan bekas isterinya, maka dia hendaklah menunggu sehingga isterinya berkahwin dengan lelaki lain, melakukan persetubuhan dengan suaminya yang baharu, bercerai dan tamat idah dengan suami yang baru dikahwininya tersebut.
3. Apabila seseorang lelaki yang telah pun bercerai dengan isterinya dan ingin mengahwini perempuan yang mempunyai pertalian dengan bekas isterinya. Sebagai contoh, kakak atau ibu saudara kepada bekas isteri.
Dalam situasi sedemikian, lelaki tersebut hendaklah menunggu tempoh idah isterinya berakhir terlebih dahulu.
Semoga bermanfaat!


