suria

Insaf dosa lalu tak jaga solat, nak qada tapi terlalu banyak 'tinggal'… Ini penjelasan UAI

Umat Islam yang meninggalkan solat wajib menggantikannya (qada) kembali. -Gambar hiasan

SETIAP manusia pasti pernah melalui fasa khilaf dan kealpaan dalam hidup. 

Ada masa kita leka dengan dunia, sampai terlupa kewajipan paling utama iaitu menunaikan solat fardu.

ARTIKEL BERKAITAN: Tiada hijab... Ini 4 doa termaktub dalam al-Quran sebagai panduan untuk orang dizalimi, ditimpa musibah

Namun, sebaik sahaja hati mula tersentuh dan timbul rasa insaf untuk kembali ke jalan Allah, persoalan yang sering muncul adalah bagaimana mahu menggantikan solat yang pernah ditinggalkan kerana langsung tidak mengingati jumlahnya.

Menurut pendakwah bebas, Ustaz Azhar Idrus, jika seseorang itu pernah meninggalkan solat fardu walaupun sudah lama, dia tetap wajib mengqadanya sehingga yakin semua yang ditinggalkan dulu sudah diganti.

Umat Islam wajib mendirikan solat walau di mana saja dia berada. -Gambar hiasan

Kata beliau, hal ini dijelaskan dalam Kitab Al-Fiqh ala Mazahibil Al-Arba'ah, yang bermaksud:

"Siapa yang ada beberapa solat yang luput yang dia tidak tahu bilangannya, nescaya wajib atasnya mengerjakan qada sehingga dia yakin telah terlepas dari tanggungannya di sisi mazhab Syafie dan Hambali.

"Dan ulama mazhab Maliki dan Hanafi berkata dengan memadai berat sangkaannya dia telah lepas dari tanggungannya," kongsinya.

Jelas Ustaz Azhar, pendek kata mereka yang pernah meninggalkan solat hendaklah melakukan qada sebanyak yang diyakini sudah mencukupi atau berat sangkaan bahawa dia sudah melunaskan tanggungjawabnya.

"Kalau kurang dari jumlah sebenar, maka dimaafkan. Tapi kalau lebih dari jumlah sebenar, solat yang lebih itu dikira sebagai solat sunat, sebagaimana disebut oleh fuqaha," katanya.

Ingatlah, Allah tidak memandang masa lalu seseorang, tetapi sejauh mana dia mahu berubah untuk masa depannya.

Semoga bermanfaat!

Artikel Lain