PENGGUNAAN tali keselamatan yang dipakai di pergelangan tangan anak kecil atau safety harness masih kurang diterima rakyat Malaysia berbanding di luar negara.
Malah ramai yang skeptikal terhadap peranti keselamatan itu kerana beranggapan ia tak ubah seperti mengikat haiwan peliharaan.
Bagi mereka yang masih belum tahu, penggunaan safety harness sebenarnya bertujuan menjaga keselamatan dan mengawasi pergerakan anak-anak di kawasan khalayak ramai.
Menurut portal Hello Doktor, ia merupakan langkah pencegahan awal untuk memastikan anak-anak tidak terdedah kepada keadaan berisiko atau berbahaya.
Buat ibu bapa yang masih berkira-kira mahu menggunakannya, berikut adalah tujuh alasan mengapa pemakaian safety harness sesuai untuk kanak-kanak:
Penggunaan child harness masih dipandang pelik oleh masyarakat.
1. Anak kecil gemar berlari
Apabila anak-anak sudah memasuki fasa pandai berjalan, semakin sukar ibu bapa mahu mengawal pergerakan si kecil apatah lagi mereka enggan lagi duduk di dalam kereta sorong.
Ibu bapa seperti dalam dilema untuk membenarkan anak-anak meneroka dan belajar benda baru pada yang sama memastikan keselamatan mereka terjamin.
2. Sesuai untuk anak berkeperluan khas
Anak berkeperluan khas seperti autisme, ADHD dan down sydrom memerlukan lebih banyak perhatian memandangkan mereka berisiko terlibat dalam situasi yang tidak diingini.
Bukan itu sahaja, alat keselamatan ini juga berfungsi untuk membantu anak-anak yang mengalami masalah pendengaran supaya mereka sentiasa berada di bawah pengawasan ibu bapa.
3. Selamat di tempat terbuka
Tali keselamatan ini sangat praktikal untuk ibu bapa yang mempunyai ramai anak kecil atau anak kembar, lebih-lebih lagi ketika berjalan di tempat awam.
Selain itu, peranti tersebut juga dapat mengawal tingkah laku anak-anak agar tidak mengundang rasa kurang selesa orang sekeliling.
Child harness memberi ruang buat anak-anak meneroka dunia.
4. Elakkan gangguan pedofilia dan penculikan
Kes penculikan dan pedofilia semakin berleluasa, tanpa kita sedari anak kita berkemungkinan sedang diperhatikan individu dengan niat jahat.
Mereka hanya menunggu masa untuk ‘merampas’ si kecil semasa ibu bapa dalam keadaan terleka.
5. Bukan bermaksud ibu bapa pemalas
Tanggapan ibu bapa yang menggunakan tali keselamatan sebagai pemalas dan ambil jalan mudah dalam menjaga anak-anak adalah tidak benar.
Sebaliknya mereka harus diberi pujian atas tindakan bijak mengambil langkah pencegahan yang efektif dan pada masa sama meluangkan masa bersama anak-anak.
6. Tidak sekat kebebasan anak
Meskipun diikat, anak-anak masih boleh meneroka dunia dalam jarak yang selamat mengikut kepanjangan tali.
Malah, ibu bapa juga boleh berada dalam keadaan yang tenang memandangkan anak-anak bermain di depan mata mereka.
7. Pilihan masing-masing
Sekiranya mereka lebih rela membiarkan anak bebas berjalan tanpa safety harness kerana bimbang akan persepsi masyarakat, merekalah yang harus menanggung akibatnya.
Keselamatan anak di tangan ibu bapa dan mereka lebih tahu apa yang terbaik untuk keselamatan cahaya mata masing-masing meskipun ia kelihatan janggal pada mata orang ramai.