SEDAR atau tidak, rasa lesu dan kurang semangat antara ciri-ciri yang menunjukkan diri seseorang dipenuhi aura negatif.
Malah ia boleh disebabkan faktor tekanan kerja dan persekitaran yang seterusnya membabitkan hubungan antara kekeluargaan mahupun rakan.
Di laman TikTok, seorang pakar fengshui dari Johor berkongsi beberapa kaedah yang membolehkan seseorang itu menjauhi aura negatif.
"Selepas pergi hospital, kubur atau tempat orang meninggal, jangan terus pandu balik rumah.
"Ia berikutan, tempat-tempat ini penuh dengan aura berat dan tenaga negatif," katanya.
Oleh itu, dia yang mesra disapa uncle fengshui berkongsi cara untuk menghalang aura negatif daripada terus menyelubungi diri.
Badan yang relaks memberi keselesaan kepada sesiapa sahaja. -Gambar hiasan
1. Singgah lokasi awam
Selepas keluar dari hospital, kawasan perkuburan atau ziarah kematian, anda disarankan untuk singgah di tempat yang mempunyai ramai orang selama kira-kira 30 minit.
Menurut uncle fengshui, dengan cara itu, tenaga berat dan aura negatif dapat dilepaskan ke persekitaran.
2. Berehat di medan selera
Sebaiknya, anda cuba merehatkan diri di tempat terbuka seperti kedai makan.
Duduklah menikmati hidangan anda supaya tenaga dan aura negatif dapat dineutralkan terlebih dahulu.
Apabila anda sudah berada dalam keadaan tenang, barulah pulang ke rumah supaya kediaman penuh dengan tenaga baik.