suria

Bukan tiada lagi cinta, cuma rasa hilang sesuatu... Ini 5 tanda rumah tangga hilang ‘spark’

Wanita cenderung rasa terbeban dan tertekan apabila mengalami masalah rumah tangga. -Gambar hiasan

SETIAP pasangan suami isteri pasti mengimpikan rumah tangga yang mawaddah, sakinah dan warahmah.

Meskipun berusaha memupuk rasa bahagia sejak awal perkahwinan, namun terdapat pasangan yang kecundang di tengah jalan.

Menyedihkan apabila ada yang mengambil jalan mudah dengan penceraian seterusnya membawa haluan masing-masing tanpa cuba menyelamatkan perkahwinan terlebih dahulu.

Namun sekiranya hubungan diperbaiki, bahtera rumah tangga dapat dipertahankan sekali gus mencapai matlamat sebenar perkahwinan.

Menerusi hantaran di Facebook, Felinna Fattah berkongsi tanda-tanda awal rumah tangga kehilangan seri (spark).

Malah katanya, 'spark' yang hilang bukan menandakan cinta sudah tidak wujud sebaliknya kurang komunikasi antara pasangan dan beberapa faktor lain.

Ini lima tanda rumah tangga hilang 'spark' seperti yang dikongsikannya.

1. Komunikasi menjadi hambar

Cakap hanya apabila perlu dan tiada lagi istilah 'deep conversations' antara pasangan.

Malah setiap percakapan yang keluar dirasakan seolah-olah arahan.

Kadang kala, ada pasangan yang gemar melakukan  'silent treatment' sehingga akhirnya menjadi kebiasaan sekali gus menghilangkan gelak ketawa dalam rumah tangga.

Sesetengah pasangan pula beranggapan mereka sudah tidak mempunyai 'modal' bersembang kerana semuanya telah dikongsikan.

Kurang komunikasi boleh menjadi punca rumah tangga berantakan. -Gambar hiasan

Kurang komunikasi boleh menjadi punca rumah tangga berantakan. -Gambar hiasan

2. Tiada lagi 'bahasa tubuh' 

Semasa awal perkahwinan, pasti ada sahaja yang ingin kita lakukan kepada pasangan sebagai sebagai petunjuk yang menggambarkan rasa cinta dan bahagia.

Namun selepas sekian lama mendirikan rumah tangga, kebanyakan pasangan mula membawa haluan masing-masing.

Paling menyedihkan apabila masing-masing tiada semangat untuk membuat kejutan pada pasangan.

3. Sentiasa rasa sendirian  walaupun duduk bersebelahan

Mereka yang hilang spark dalam hubungan cenderung untuk berasa sendirian meskipun sedang menonton televisyen bersama.

Hal ini menyebabkan ada pasangan terutama golongan isteri berasa diri terbeban dengan segala urusan rumah tangga seterusnya menjadi tertekan.

Tambahan pula, tiada sentuhan fizikal yang berlaku sehingga diri beranggapan pasangan tidak wujud.

Malah ada yang lebih gemar menghabiskan masa dengan telefon bimbit walaupun sedang duduk bersama.

Rumah tangga mungkin menuju kehancuran apabila salah seorang mula berfantasi tentang alam kehidupan sendirian.

4. Apa yang dilakukan adalah rutin

Di awal perkahwinan, kebanyakan pasangan merasakan apa yang dilakukan setiap hari adalah untuk membahagiakan satu sama lain.

Masalah yang dialami dan sering dibiarkan tanpa penyelesaian membuatkan segelintir individu melalui kehidupan seperti rutin harian.

Paling membimbangkan apabila ada pasangan yang enggan lagi mencipta memori bersama.

5. Mudah rasa menyampah pada pasangan

Apabila perasaan tidak suka membelenggu, apa sahaja yang dilakukan pasangan pasti membibit rasa benci dan menyampah dalam diri.

Malah, kesalahan kecil yang berlaku telah diperbesar-besarkan sehingga mencetus pergaduhan dan akhirnya masing-masing bermasam muka.

Artikel Lain