suria

Doktor kongsi 5 ciri wanita subur, mudah hamil... Rasa sakit ketika ‘bersama’ suami mungkin petanda tak baik

Wanita yang sering senggugut mungkin mengalami masalah kesuburan. -Gambar hiasan

TAHAP kesuburan seseorang wanita antara kunci utama untuk mendapatkan zuriat.

Justeru, kebanyakan wanita dinasihatkan untuk sentiasa membuat pemeriksaan kesihatan dalaman apabila mempunyai masalah kitaran haid.

Menerusi hantaran di TikTok, Pakar Sakit Puan (O&G), Dr Faizan Irdawaty berkongsi lima kriteria wanita subur dan mudah hamil.

Perkongsian ini sekali gus dapat membantu para wanita untuk menangani masalah kesihatan dalaman lebih awal seterusnya berjaya mendapatkan cahaya mata selepas berkahwin.

1. Kitaran haid

Wanita yang subur lazimnya mempunyai kitaran haid yang biasa sama dalam tempoh yang singkat iaitu 21 hari atau maksima 35 hari.

Sekiranya kitaran haid datang secara berkala, ia menunjukkan hormon berada dalam keadaan stabil.

2. Isipadu darah haid

Mereka yang subur dan mudah hamil kebiasaannya memiliki isipadu darah haid yang normal iaitu 'keluar' dalam tempoh tujuh hari dan paling lama pun sekitar 10 hari.

Darah yang keluar juga tidak banyak atau berketul-ketul.

Menurut Dr Faizan, selalunya haid keluar dalam jumlah yang sedikit dahulu dan bertambah banyak pada hari kedua hingga keempat seterusnya kembali sedikit.

Wanita yang mempunyai darah haid banyak dan berketul-ketul, berkemungkinan mengalami masalah fibroid atau dinding rahim tebal dan tidak normal kerana ia menunjukkan ciri-ciri hormon tidak stabil.

Sakit ketika melakukan hubungan seksual antara petanda mengalami masalah kesuburan. -Gambar hiasan

Sakit ketika melakukan hubungan seksual antara petanda mengalami masalah kesuburan. -Gambar hiasan

3. Tidak mempunyai masalah ketika bersama

Wanita yang mengalami kesakitan semasa melakukan hubungan seksual atau diistilahkan sebagai dyspareunia, cenderung tidak subur.

Ini kerana, rasa senak dan mencucuk terutamanya semasa deep penetration mempunyai kaitan dengan masalah endometrosis atau adenomyosis yang bermaksud rahim bengkak atau mempunyai cyst pada rahim.

4. Tiada masalah keputihan

Terdapat segelintir wanita yang mengalami masalah keputihan banyak sehingga mengakibatkan kegatalan.

Keputihan yang tidak normal keluar dalam kuantiti yang banyak dan mempunyai bau yang kurang menyenangkan serta boleh bertukar warna.

Jika seseorang itu subur, dia tidak mempunyai masalah keputihan yang banyak dan tidak normal kerana kebiasaannya keputihan berlaku mengikut kitaran haid.

Sebagai contoh, apabila wanita habis haid, discharge akan berwarna krim manakala lebih cerah apabila menghampiri waktu subur.

Apabila hampir haid pula, keputihan akan berwarna lebih pekat.

5. Tiada masalah senggugut teruk

Jika mempunyai masalah senggugut teruk yang berlaku sebelum, semasa dan selepas haid sehingga perlu mendapatkan sijil cuti sakit (MC), anda dinasihatkan untuk mendapatkan rawatan lanjut.

Artikel Lain