RAMAI menganggap pengambilan buah-buahan yang kaya dengan khasiat sesuai untuk semua individu.
Sebenarnya, tidak semua buah sesuai dimakan lebih-lebih lagi jika seseorang itu sedang diet untuk tujuan atau misi tertentu.
Bagi anda yang sedang mengawal pengambilan gula atau berusaha menurunkan berat badan, penting untuk mengetahui bahawa sesetengah buah tinggi gula semula jadi dan sebaiknya perlu dielakkan terutama pada waktu malam.
ARTIKEL BERKAITAN:Usah obses mahu ‘body’ cantik, kajian dedah ahli bina badan profesional berisiko mati mengejut akibat serangan jantung
Berikut adalah tiga jenis buah berwarna kuning yang mengandungi kadar gula tinggi dan kurang sesuai dimakan sebagai snek malam:
1. Durian
Terkenal sebagai 'raja buah', durian memang enak dan penuh dengan nutrien. Namun, ia juga sangat tinggi kandungan gula semula jadi. Mengambil durian pada waktu malam boleh menyebabkan lonjakan gula dalam darah, sekali gus memberi kesan kepada berat badan dan mengganggu kualiti tidur.
Ramai memilih pisang sebagai snek namun ia boleh menyebabkan ketidakseimbangan tenaga dan menjejaskan metabolisme tubuh. -Gambar hiasan
2. Mangga
Buah tropika yang manis ini memang menggoda, tetapi mangga juga mengandungi jumlah gula yang agak tinggi. Mengambil mangga pada waktu malam boleh menyebabkan 'sugar rush' atau peningkatan tenaga secara mendadak yang menyukarkan anda untuk relaks dan tidur dengan lena.
3. Pisang
Pisang adalah snek yang mudah dan kaya dengan khasiat, namun ia juga tergolong dalam buah yang agak tinggi gula berbanding buah lain. Jika diambil sebagai sebahagian daripada makan malam atau snek lewat malam, ia boleh menyebabkan ketidakseimbangan tenaga dan menjejaskan metabolisme tubuh.
Sebagai ganti ketiga-tiga buah ini, anda boleh memilih buah-buahan yang lebih rendah kandungan gulanya seperti beri, epal atau pir untuk snek malam yang lebih sihat.
Buah-buahan ini membantu mengekalkan kestabilan gula darah, menyokong matlamat kesihatan, dan memberikan tidur malam yang lebih berkualiti.
Kesimpulannya, walaupun buah-buahan sihat, masa pengambilannya juga memainkan peranan penting.
Ambil masa untuk membuat sedikit pembacaan atau kajian agar perjuangan menurunkan berat badan berjalan dengan lancar dan memberikan hasil yang diharapkan.