SEORANG lelaki meraih perhatian warga maya selepas dia mengaku kerap memukul isterinya.
Dalam perkongsian di aplikasi X, lelaki itu berkata dia bukan sekali sekala memukul isteri sebaliknya melakukannya dengan kerap.
Bagaimanapun, katanya, dia juga mempunyai cara tersendiri untuk memujuk semula isteri.
"Perangai jahat aku tu, aku selalu naik tangan dekat dia. Aku akan pukul sampai dia menangis dan meraung, baru aku puas hati.
"Lepas tu aku akan pujuk dia, beli apa dia nak. Coach, Louis Vuitton, Gucci... walaupun mahal, aku sanggup habis duit asal dia tak merajuk.
"Isteri aku senang dipujuk. Aku sayang dia. Tapi aku pula baran," tulis lelaki itu.
Rata-rata netizen di ruangan komen menyelar sikap lelaki itu yang dianggap kejam dan tidak berperikemanusiaan.
Menurut laman kesihatan Hello Doktor, terdapat beberapa sebab mengapa mangsa keganasan rumah tangga tidak meninggalkan pasangan mereka.
1. Persepsi
Mangsa mungkin bimbang dengan stigma masyarakat sekiranya masalah rumah tangganya diketahui orang luar.
Mangsa keganasan rumah tangga mungkin memilh untuk sabar kerana memikirkan masa depan anak-anak. -Gambar hiasan
Antara lain, pemangsa mungkin mempunyai personaliti yang disenangi masyarakat, hingga menyukarkan mangsa untuk tampil ke hadapan.
Mangsa juga berkemungkinan takut tiada siapa akan mempercayai ceritanya.
2. Terperangkap dalam kitaran
Keganasan rumah tangga biasanya berlaku secara berulang, menyebabkan mangsa terperangkap dalam kitaran itu.
Malah, pemangsa biasanya tidaklah bertindak kasar sepanjang masa.
ARTIKEL BERKAITAN: Majoriti suami mampu bertahan 3 minit... Doktor dedah punca utama berlaku kes ‘tewas’ awal
ARTIKEL BERKAITAN: Tak berbaloi serang ‘penyondol’, lebih baik cari peguam... Ini 6 panduan untuk isteri mangsa suami curang bertindak
Ada kalanya, pemangsa melayan mangsa dengan baik dan hubungan mereka bebas konflik sebelum keganasan kembali berulang.
Apabila berlaku lagi, mangsa akan dipujuk, menyebabkan episod sama terus berulang dalam tempoh panjang.
3. Cinta
Hubungan rumah tangga biasanya bermula dengan harmoni dan penuh rasa cinta.
Disebabkan itu, mangsa keganasan rumah tangga sentiasa mengharapkan suami mereka akan kembali kepada diri mereka yang dulu.
Malah, dalam fikiran mangsa, dia mahu keganasan itu dihentikan, bukannya meletakkan noktah dalam hubungan mereka.
4. Tiada keyakinan
Mangsa keganasan rumah tangga juga boleh berdepan masalah kurang keyakinan diri.
Contohnya, pemangsa sering menuduh isteri sebagai pembohong sehingga mangsa mula mempersoalkan diri sendiri.
Rentetan kejadian ini akan menyebabkan mangsa mula tidak yakin dengan dirinya.
Dalam situasi ini, sudah tentu sukar untuk mangsa meninggalkan hubungan yang toksik.